Peruntukan RM100 juta Skim Bantuan Madani bakal habis April ini

Oleh – Syeikh Baran


Peruntukan RM100 juta Skim Bantuan Madani bakal habis April ini
Gambar Hiasan

Peruntukan RM100 juta bagi melancarkan bantuan Skim Perubatan Madani yang memanfaatkan kira-kira 700,000 isi rumah golongan B40 dijangka habis digunakan menjelang April ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat hari ini, kerajaan telah membelanjakan RM78.73 juta daripada peruntukan RM100 juta bagi skim perubatan itu.



Katanya, keputusan kerajaan untuk kembali memberi tumpuan kepada pelaksanaan Skim Perubatan Madani di 10 daerah sahaja dibuat selepas mengambil kira kemampanan pembiayaan kewangan semasa kerajaan.

“Justeru dalam merangka apa juga dasar kesihatan, ia mesti memenuhi health outcome lebih baik, lebih mampan dan pembiayaan yang lebih mantap dan berjangka jauh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai justifikasi kerajaan meneruskan skim itu di 10 daerah terpilih sahaja sedangkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2024 untuk menambah baik skim perubatan berkenaan.

Terdahulu, ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) dalam kenyataan memaklumkan Skim Perubatan Madani hanya tertumpu kepada 10 daerah terpilih dan penerima tertentu sahaja berkuat kuasa mulai 26 Februari 2024 sebagai langkah meningkatkan keberkesanan, kemampanan serta memaksimumkan impak skim tersebut.



10 daerah itu ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang, Johor Bahru, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Sebelum ini, skim perubatan itu tersedia kepada penerima berkelayakan di 21 daerah seluruh negara.

Bagaimanapun, Dr. Dzulkefly berkata, berdasarkan perbelanjaan lepas dan unjuran semasa, anggaran perbelanjaan seminggu di 10 daerah dalam fasa satu Skim Perubatan Madani adalah RM1.7 juta.

Tambahnya, kerajaan dijangka memerlukan RM12 juta hingga RM15 juta seminggu jika mahu melaksanakannya di seluruh negara.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button