Penunggang motosikal maut akibat langgar babi

 

Oleh Pena Merah

Penunggang motosikal maut akibat langgar babi

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor babi dalam kejadian di Kilometer 7.3 berhampiran Kampung Rokan, di sini, pagi tadi.



Mangsa, A. Pratipp, 20, dari Felda Bukit Rokan dalam perjalanan ke tempat kerja maut di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi membabitkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.

“Hasil siasatan mendapati penunggang motosikal tersebut dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Bukit Rokan ke tempat kerjanya di IOI Gemencheh.

“Apabila sampai berhampiran Kampung Rokan dipercayai mangsa telah melanggar seekor babi hutan yang menyeberang jalan lalu mangsa tercampak ke atas jalan,” katanya kepada pemberita hari ini.



Ujar Amiruddien lagi, mayat mangsa berada di bahagian Forensik Hospital Tampin untuk pengendalian bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

-Utusan-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button