17 cedera tembakan rambang di New York

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 17 cedera apabila seorang lelaki bersenjata yang memakai topeng gas melepaskan tembakan dan bom gas di stesen kereta api bawah tanah New York, awal pagi semalam.

Insiden itu mendorong pihak berkuasa memperbaharui langkah untuk menangani keganasan yang semakin meningkat di sistem transit bandar berkenaan.

Polis berkata, pihak berkuasa tempatan dan Persekutuan berganding bahu memburu penyerang dipercayai bertindak sendirian.

Dalam kejadian di stesen kereta api bawah tanah Manhattan menuju dalam laluan N berhenti di stesen kejiranan Brooklyn Sunset Park, 10 penumpang yang terkena tembakan secara langsung termasuk lima yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan kritikal namun stabil.

Pihak berkuasa berkata, tujuh yang lain cedera ketika keadaan menjadi kelam kabut apabila penumpang bertempiaran melarikan diri dari gerabak yang dipenuhi asap.

Beberapa penumpang dilihat rebah ke lantai sebaik berada di landasan stesen 36th Street. Pihak bomba berkata dua yang cedera dirawat di tempat kejadian.

Menurut CNN, seramai 29 penumpang yang mengalami pelbagai kecederaan ketika insiden itu tiba di hospital dan sudah menerima rawatan serta dibenarkan keluar.

Suspek yang digambarkan oleh polis sebagai berbadan besar, memakai ves pembinaan berwarna hijau dan baju panas yang berhud.

Fox News dan stesen televisyen tempatan melaporkan Jabatan Polis New York (NYPD) menemui van U-Haul dengan plat kenderaan Arizone yang mempunyai kaitan dengan serangan. Bagaimanapun penyerang masih belum ditemui.

Pesuruhjaya NYPD, Keechant Sewell, berkata tembakan itu tidak disiasat sebagai perbuatan keganasan, walaupun pihak berkuasa tidak menolak sebarang kemungkinan sebagai motif.

Sewell berkata, penyerang memakai topeng gas ketika kereta api menghampiri stesen sebelum mengeluarkan kanister daripada bag dan melepaskannya.

Gerabak kemudian dipenuhi asap sebelum beliau melepaskan tembakan yang terkena beberapa penumpang di dalam gerabak dan landasan.

Datuk Bandar Eric Adams, berikrar memperbaiki keselamatan kereta api bawah tanah dengan meningkatkan pemantauan polis.

Bercakap kepada CNN, Adam berkata insiden ini adalah tindakan keganasan yang tidak masuk akal dan berikrar menambah jumlah anggota untuk pemantauan.

Rumah Putih berkata, Presiden Joe Biden, sudah diberi taklimat berhubung insiden itu dan bantuan ditawarkan kepada pihak berkuasa tempatan.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker