4 penjawat awam bersekongkol terima rasuah

Oleh – Syeikh Baran


4 penjawat awam bersekongkol terima rasuah
Beberapa suspek yang ditahan SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi mendapatkan perintah reman. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat penjawat awam selepas disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak.

Mereka dibenarkan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini. Perintah reman itu dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, empat suspek berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an itu dicekup di sekitar Lembah Klang pada pukul 11.30 pagi hingga 4 petang semalam.

Tangkapan ke atas mereka dibuat dalam operasi khas Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dalam operasi tersebut, SPRM menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket sejak 2018 hingga 2023.

“Aktiviti penyeludupan itu menyebabkan ketirisan hasil cukai berjumlah RM400 juta, manakala wang sogokan lebih RM8 juta diberikan kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melicinkan operasi,” katanya di sini tadi.

Susulan operasi trsebut, AMLA SPRM merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta dengan nilai keseluruhan hampir RM6 juta.

SPRM turut membekukan sebanyak 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah RM12 juta.

“Sindiket itu dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

“Selain itu, sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan ‘mencuci duit’ menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’ melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi suspek yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker