Forest bangkit ikat Chelsea

NOTTINGHAM, United Kingdom: Graham Potter mengakui keputusan 1-1 Chelsea di Nottingham Forest menyukarkan lagi impian mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Raheem Sterling meletakkan Chelsea di depan pada babak pertama di City Ground, tetapi pertahanan Ivory Coast, Serge Aurier menyamakan kedudukan selepas rehat.

Chelsea kini di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris selepas gagal meraih kemenangan buat kali keenam dalam tujuh perlawanan terakhir liga.

The Blues kini ketinggalan tujuh mata di belakang Manchester United yang menghuni tangga keempat.



“Kami perlu lebih konsisten. Kami perlu mendapatkan semula pemain-pemain utama untuk menambah konsistensi di bahagian tertentu.

“Ia sentiasa sukar kerana anda mempunyai banyak pasukan besar dengan pemain-pemain dan jurulatih hebat.

“Perjalanan kami masih jauh jadi ia adalah satu kesilapan untuk memikirkan apa yang akan berlaku dalam tempoh lima bulan lagi,” kata Potter.

Beberapa bulan selepas menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat, Potter mula menerima tekanan selepas isyarat positif ketika dia tiba dari Brighton semakin pudar.



Forest kekal berada di tangga ketiga tercorot selepas hanya menang tiga kali musim ini.

Sterling menjaringkan gol liga pertamanya sejak Ogos selepas bola hantaran Christian Pulisic kepada Kai Havertz dikuis pemain Forest, Willy Boly dan terkena palang sebelum sampai kepadanya.

Forest menyamakan kedudukan pada minit ke-63 selepas Boly menanduk bola sepakan sudut kepada Aurier yang kemudian melorongkan bola di celah kaki Kepa Arrizabalaga.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker