Aaron-Wooi Yik wakil tunggal Malaysia di Terbuka India

Oleh – Syeikh Baran


Aaron-Wooi Yik wakil tunggal Malaysia di Terbuka India
AARON Chia dan Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia yang mara ke separuh akhir Terbuka India.

Beregu No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi membuktikan mereka wakil Malaysia paling konsisten apabila menempah slot separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.

Pada ketika, dua lagi wakil negara tumbang di peringkat lapan terbaik, Aaron-Wooi Yik muncul satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya meneruskan kemaraan selepas menyingkirkan beregu No. 8 dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-19, 21-19 dalam masa 45 minit.

Kemenangan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 2-4 dengan gandingan China itu.

Pada separuh akhir, menanti beregu negara itu sama ada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen ataupun wakil tuan rumah, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang merupakan finalis Terbuka Malaysia.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik melangkah ke separuh akhir, sekurang-kurangnya membuat peminat badminton di tanah air tersenyum selepas persembahan mengecewakan rata-rata wakil negara pada Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Beregu bimbingan Rexy Mainaky itu sekalipun terkandas di suku akhir di Axiata Arena, tetapi, Aaron-Wooi Yik jarang sekali menghampakan apabila slot suku akhir, separuh akhir atau final merupakan destinasi tetap mereka pada Jelajah Dunia.

Selepas berjaya memecah kebuntuan menjuarai Terbuka Denmark pada tahun lalu dalam usaha keras mereka memburu gelaran sulung pada Jelajah Dunia, Aaron-Wooi Yik kini berpeluang mendakap kemenangan kedua jika berhasil melepasi halangan separuh akhir, esok.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, pemain No. 10 dunia, Lee Zii Jia disekat kemaraannya pada suku akhir apabila tunduk kepada wakil Jepun, Kodai Naraoka yang menghuni ranking keenam dunia 21-13, 9-21, 16-21.

Aksi Zii Jia di New Delhi, sekurang-kurangnya memperbaiki keputusannya setelah dikejutkan seawal pusingan pertama oleh Lu Guang Zu dari China di Terbuka Malaysia.

Menerima nasib serupa, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang tewas kepada pilihan kelima dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Xa Yin 13-21, 13-21 dalam masa 31 minit.

Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker