‘Kerana organmu aku masih bernafas’

Putrajaya: “Saya terhutang budi dengan pengorbanan individu itu kerana buah pinggangnya menjadi penyelamat dan penyambung hayat saya.

“Doa saya, siapa pun dia tidak kira bangsa atau agama, moga Allah SWT membalas segala kebaikannya,” kata Marina Mocktar, 40.

Marina ialah penghidap penyakit buah pinggang kronik dan bergantung kepada rawatan continuous ambulatory peritoneal dialysis (CAPD) atau dialisis air dan hemodialisis (dialisis darah) selama 11 tahun.

Menurut Marina, dia pernah berputus asa kerana diuji dengan penyakit itu pada usia masih muda sehingga perlu berulang-alik ke hospital dan pusat dialisis, namun positif meneruskan perjuangan dengan sokongan keluarga serta individu sekeliling.

“Suami tidak layak untuk menderma buah pinggangnya kepada saya kerana dia merokok selain masalah kesihatan lain. Maka untuk meneruskan hidup, pilihan yang ada ketika itu cuma dialisis.

“Saya memilih rawatan dialisis air kerana boleh diuruskan sendiri di rumah memandangkan saya masih sayangkan pekerjaan saya ketika itu.

“Jadi, empat tahun juga saya bertahan dengan dialisis air sebelum akhirnya perlu bertukar kepada dialisis darah kerana terkena jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, rezeki berpihak kepadanya apabila dia disenaraikan untuk mendapat buah pinggang daripada penderma yang berikrar mendermakan organnya ketika masih hidup.

“Pada tahun kelapan dialisis, saya dihubungi pihak hospital dan selepas segala persediaan dilakukan hampir tiga tahun, akhirnya saya layak menjalani pembedahan pemindahan organ (buah pinggang) pada 17 Januari 2020.

“Saya mendapat organ daripada penderma kadaverik (selepas kematian) iaitu individu yang disahkan mati otak.

“Selepas dua minggu, keadaan kesihatan saya bertambah baik dan doktor sahkan saya tidak perlu lagi menjalani rawatan dialisis namun masih dipantau sehingga kini,” katanya.

Katanya, dia menganggap penerimaan organ itu sebagai rezeki kerana tidak semua pesakit kronik berpeluang apatah lagi senarai menunggu sangat ramai sedangkan jumlah penderma masih kurang.

“Ini juga umpama peluang kedua buat saya kerana bukan mudah berjuang sebagai pesakit buah pinggang,” katanya yang dilantik sebagai Duta Ginjal (DuGIN) pada 26 Mac lalu.

Katanya, sejak menderita penyakit itu hingga kini, dia aktif berkongsi pengalaman di media sosial terutama dalam memberi kesedaran mengenai bahaya dan mengawal risiko penyakit kronik ini.

“Ambil pengajaran. Perjalanan saya bukan mudah kerana banyak masa, wang ringgit dan air mata perlu dibayar untuk mendapatkan semula hidup normal seperti hari ini.

“Jadi, selagi kita mampu kawal daripada awal gunakan sebaiknya peluang yang ada dengan menjalani gaya hidup sihat dan mengamalkan pemakanan sihat seperti saranan pakar perubatan.

“Untuk mereka yang sihat pula, mendaftarlah sebagai penderma organ kerana kita mungkin boleh menjadi ‘talian hayat’ untuk pesakit kronik memerlukan terutama mereka yang masih muda untuk meneruskan hidup,” katanya.

Ayah masih ‘hidup’ dalam jasad orang lain

Kuala Lumpur: Biarpun sudah 12 tahun G Krishanan meninggal dunia, keluarganya menganggap lelaki berkenan tetap ‘hidup’ kerana organnya berada dalam tubuh badan individu lain.

Bagi anak perempuannya, K Santi, 43, keluarganya membuat keputusan sukar sebelum memutuskan untuk mendermakan organ mendiang bapanya bagi menyelamatkan nyawa insan lain.

“Ayah saya disahkan mati otak selepas tergelincir dari tangga hingga menyebabkan kepalanya terhentak pada batu di hadapan rumah.

“Pada masa itu, saya terdetik menyuarakan pendermaan organ ayah memandangkan ketika hayatnya dia seorang yang sihat, bertenaga, menjalani gaya hidup sihat dan tiada tabiat merokok atau minum arak.

“Dalam sedih menerima hakikat ayah tiada harapan untuk hidup, kami sekeluarga berbincang dan mendapatkan beberapa pandangan pihak berkaitan sebelum bersepakat memutuskan untuk mendermakan organ ayah,” katanya.

Katanya, secara zahirnya bapanya tidak pernah mendaftar sebagai penderma organ namun lelaki itu pernah menyuarakan kebaikan pendermaan organ kepada suaminya.

“Pada mulanya, kami masih ragu tetapi selepas suami saya menceritakan perbualannya dengan ayah yang menyokong pendermaan organ, kami tekad dengan keputusan itu.

“Kami yakin ayah sudah tentu menyokong niat murni ini memandangkan ayah juga seorang yang sangat suka membantu orang lain, tidak kira bangsa atau agama semasa hayatnya,” katanya.

Tenaga pengajar jururawat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia itu berkata, semua proses pemindahan organ dan pengebumian bapanya berjalan dengan lancar.

“Selepas dua minggu, kami menerima surat dari Pusat Sumber Transplan Nasional, dua organ ayah iaitu buah pinggang dan hatinya selamat dipindahkan kepada dua penerima.

“Kami dimaklumkan, kedua-dua organ itu berfungsi dengan baik dan berita itu sudah cukup membuatkan hati kami tenang dan gembira.

“Sebenarnya kami tidak meminta apa-apa, cuma berharap ayah terus ‘hidup’ dalam badan individu lain. Niat kami, walaupun tidak tahu siapa penerima atau apa bangsa dan agamanya, kami tahu organ ayah memberi manfaat kepada kehidupan orang lain,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker