Sanggup derita, lebih percaya bomoh.

Alor Setar: Terlalu taksub dan percayakan rawatan bomoh sehingga sanggup membiarkan pesakit kanser terlantar di rumah tanpa rawatan hospital.

Perbuatan itu menyebabkan ada di kalangan pesakit kanser terpaksa menanggung derita apabila kanser yang dialami merebak ke seluruh badan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berikutan pengalamannya ketika bertemu dengan pesakit kanser di negara ini.

Zuraini berkata, hampir 95 peratus pesakit kanser mengakui mereka menggunakan khidmat bomoh kampung yang mendakwa mampu merawat pesakit itu tanpa perlu menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, dalam program ziarah CSM hari ini, pihaknya bertemu dengan keluarga pesakit kanser tahap empat yang mendakwa hanya bertemu dengan bomoh untuk memulihkan kanser yang dihidapi.

“Sudah banyak kali nasihatkan semua pesakit supaya mendapatkan rawatan hospital tetapi masih ada yang percaya pada bomoh.

“Saya terpaksa memberi nasihat berulang kali kepada keluarga pesakit kerana saya sendiri bekas pesakit kanser dan perlu melalui pelbagai rawatan yang disarankan doktor.

“Jika terus bertemu bomoh, ia hanya menyebabkan wang banyak habis kerana perlu membawa barangan yang diminta malah ada barangan yang tidak munasabah seperti kain kapan, paku dan sebagainya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Zuraini berkata, dalam pertemuannya dengan sebuah keluarga di bandar raya ini, hari ini, dia terkejut apabila diberitahu pesakit kanser itu terlantar di atas katil dalam keadaan tidak bermaya kerana bapanya tidak membenarkan anaknya dihantar ke hospital.

Katanya, dalam kes seperti ini, ia seperti ‘menyeksa’ pesakit kerana dia seharusnya menjalani rawatan lanjut termasuk kemoterapi.

“Akibatnya pesakit hanya terlantar di atas katil dengan keadaannya semakin lemah dan apabila ditanya bapa pesakit gagal memberi alasan yang munasabah.

“Walaupun pesakit terlambat menerima rawatan namun atas nasihat yang diberikan, mereka bersetuju untuk menghantarnya ke hospital dengan segera,” katanya.

Zuraini berkata, sempena meraikan sambutan Hari Kanser Sedunia, beliau turut menasihatkan pesakit kanser di negara ini supaya mendapatkan segera rawatan kerana ia boleh merebak dengan cepat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker