Profesor kecewa koyak diploma

Kabul: Seorang profesor di Afghanistan mengoyakkan skrol diplomanya secara langsung di televisyen sebagai tanda protes terhadap tindakan Taliban menyekat wanita daripada menyambung pengajian di peringkat tinggi.

Portal CNN melaporkan, lelaki bernama Ismail Mashal itu adalah pengasas Universiti Mashal, universiti swasta di sini dan juga pensyarah di Universiti Kabul.

Ismail melakukannya dengan linangan air mata dan suara yang bergetar.



Dia berbuat demikian (mengoyakkan skrol diploma) ketika hadir di pejabat Berita Tolo, Afghanistan, minggu lalu.

“Mulai hari ini, saya tidak memerlukan diploma kerana negara ini bukan tempat untuk pendidikan.

“Jika kakak dan ibu saya tidak boleh belajar, maka saya tidak menerima pendidikan ini,” katanya.

Katanya, bahawa diploma itu adalah untuk beberapa ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah



Sejak itu, videonya itu tular, malah diulang ciap oleh Shabnam Nasimi, bekas penasihat dasar kepada Menteri Penempatan Semula Afghanistan dan Menteri Pelarian, yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

“Adegan menakjubkan ketika seorang profesor universiti Kabul memusnahkan diplomanya dalam siaran langsung televisyen di Afghanistan,” ciap Nasimi, bersama klip video itu.

Menerusi satu pengumuman pada 20 Disember lalu, Taliban mengumumkan penggantungan pengajian peringkat universiti untuk semua pelajar perempuan.

Ia adalah susulan langkah menghalang remaja perempuan daripada menghadiri sekolah menengah, pada Mac tahun ini.



November lalu, wanita dilarang memasuki semua taman, dan pada bulan sama, pegawai Taliban di sini mengumumkan larangan kaum hawa daripada menggunakan pusat gimnasium di seluruh negara.

Wanita juga diwajibkan memakai tudung dan berpakaian sopan di khalayak ramai di bawah peraturan kerajaan Taliban.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button