Sambutan hari lahir kenangan terakhir bersama cucu

GOMBAK: Majlis sambutan hari lahir menjadi kenangan terakhir seorang datuk bersama dua cucunya yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut, di sini, awal pagi tadi.

Lokman Marni, 53 berkata mangsa menghadiri majlis hari lahirnya di Sungai Besar, Sabak Bernam pada 26 Disember lalu.

“Saya jumpa cucu sulung, Nur Syaza Alfisya (Muhammad Faizan) dan adiknya, Muhammad Al Qayyum ketika mereka sekeluarga balik ke kampung meraikan hari lahir ke-53 saya.

“Saya hanya mengetahui mengenai kebakaran apabila terjaga sekitar 4 pagi selepas tersedar melihat telefon ada dua panggilan tidak dijawab,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.



Lokman yang juga bekerja sebagai pemandu agensi kerajaan, memaklumkan ibu bapa mangsa keluar makan sekitar jam 3 pagi.

“Mereka dihubungi jiran yang memaklumkan rumah mereka terbakar. Sejurus itu, anak saya tiba tetapi kawasan rumah tidak dapat didekati berikutan bomba sedang memadamkan sisa kebakaran.

“Anak saya yang sedang sarat mengandung lapan bulan cedera terpijak kaca dan dibawa ke Hospital Selayang untuk merawat luka dan pemeriksaan kandungan,” katanya.

Katanya, beliau berulang kali menitipkan pesanan supaya anak menantu tidak mengunci pintu jeriji apabila keluar ke mana-mana.



“Saya katakan jangan kunci pintu jika keluar kerana bimbang insiden tidak dijangka seperti kebakaran atau apa saja.

“Saya sangat sedih apabila hilang dua cucu sekali gus, ketika kami menunggu kehadiran orang baharu dalam masa sebulan lagi,” katanya yang memberitahu anaknya menyewa di rumah itu sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, jiran mangsa, Rahmat Razali, 33, berkata beliau terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising daripada jiran yang memberitahu ada rumah terbakar.

“Saya ingatkan rumah binaan papan di hujung yang terbakar tetapi apabila bangun rupanya rumah sewa tiga pintu milik ayah yang terbakar.

“Pada ketika itu, api sedang marak dan kami jiran-jiran dan anggota bomba bantu padamkan kebakaran,” katanya.

Dalam kebakaran awal pagi tadi, Nur Syaza Alfisya, 9, dan adik lelakinya berusia enam tahun, Muhammad Al Qayyum ditemukan rentung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, berkata ketika kejadian, pintu jeriji kediaman berkenaan berkunci dengan ibu bapa mangsa keluar rumah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker