KPM sudah jumpa ibu bapa dua pemain bola tampar

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih, semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pertemuan itu adalah untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa pelajar itu berkaitan insiden yang menimpa anak mereka.

“Concern (kebimbangan) kita sangat besar berkenaan isu ini, dan keutamaan kita adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut.

“Kita (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kita tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, dekat sini, hari ini.



Beliau berkata, maklum balas yang diterima daripada ibu bapa serta pemegang taruh yang lain akan dilihat secara keseluruhan dan siasatan akan diteruskan khususnya yang berkait rapat dengan integriti dan tatatertib.

Dalam pada itu, katanya, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah melaksanakan sesi kaunseling terhadap dua remaja berkenaan selain turut turun berjumpa ibu bapa mereka.

Sementara itu, ketika ditanya adakah KPM akan membuat laporan polis berkenaan isu terbabit, Fadhlina berkata, pihak kementerian boleh melaksanakan siasatan menerusi bahagian intergriti dan tatatertib.

“Kita masih lagi menyiasat, tak semestinya kita tunggu laporan polis. Kita boleh siasat sebab kita ada bahagian integriti dan tatatertib,” katanya.



Media sebelum ini melaporkan, rakaman insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar tular dalam media sosial.

Terdahulu, Fadhlina turut mengadakan lawatan ke dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun dan SMK Jalan Kebun sempena pembukaan semula sesi persekolahan penggal ketiga hari ini.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker