Malaysia alami Fenomena La Nina
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan, fenomena La Nina yang sedang melanda negara ketika ini, akan berterusan sehingga Februari ini.
METMalaysia dalam kenyataannya, berkata kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El-Nino Southern Oscilation (ENSO) adalah La Nina.
“Bulan ini, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka menerima taburan hujan dengan paras purata 50 millimeter (mm) hingga 400mm.
“Selain itu, kebanyakan bahagian di Sarawak dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata 250mm hingga 800mm.
“Di Sabah dan Labuan, turut dijangka bakal menerima jumlah hujan namun pada tahap yang lebih rendah iaitu 100mm hingga 300mm,” katanya.
METMalaysia berkata, dua daerah di Sabah iaitu Kudat dan Sandakan dijangka menerima hujan melebihi purata iaitu di antara 450mm hingga 600mm.
Katanya, pada Mac, taburan hujan dijangka melanda negeri di Semenanjung dengan paras purata sebanyak 100 mm hingga 350 mm.
“Di Sarawak pula, hujan dijangka di kebanyakan tempat dengan paras purata sebanyak 100mm hingga 450mm kecuali di Kuching (200 mm hingga 270 mm).
“Dalam pada itu, Sabah dan Labuan dijangka menerima taburan hujan pada sekitar 50 hingga 350mm dan dua daerah menerima hujan sedikit melebihi purata membabitkan Kudat dan Sandakan.
Keadaan ini disebabkan oleh negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) sejak November lalu dan dijangka berakhir pada Mac depan,” katanya.
Sepanjang tempoh MTL, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer sejam.
Sepanjang MTL 2022-2023, empat hingga enam episod luruan monsun dijangkakan berlaku dan menyebabkan ombak besar serta laut bergelora di Laut Cina Selatan.
Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan utara Sabah.
BHOnline