Misi getir Inter sekat Napoli

Rom: Napoli bertekad menyamai rekod 12 kemenangan berturut-turut Serie A dalam perlawanan di Inter Milan apabila saingan liga kembali bersambung selepas tujuh minggu berehat untuk aksi Piala Dunia dan cuti musim perayaan.

Dengan pasukan tempat kelima Inter berusaha menduduki kelompok empat teratas untuk layak ke Liga Juara-Juara, mereka bakal berdepan misi getir menentang Napoli yang mencipta rekod kelab apabila menang 11 aksi Serie A berturut-turut musim ini sebelum liga berehat.

Pengurus Napoli, Luciano Spalletti pastinya mahu mengekalkan momentum dengan menurunkan skuad terkuat untuk aksi di San Siro pada awal pagi Khamis ini.



Satu lagi kemenangan bakal menyaksikan Napoli menyamai rekod kemenangan berturut-turut paling lama milik Juventus yang dicipta pada musim 2017-18.

Inter yang ketinggalan 11 mata di belakang Napoli bakal beraksi tanpa pemain tengah Marcelo Brozovic yang mengalami kecederaan.

AC Milan pula tidak boleh tercicir mata jika mahu terus mencabar Napoli dalam perebutan gelaran liga.



Skuad Stefano Pioli yang menduduki tangga kedua dengan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu itu berdepan kelab pertengahan Salernitana yang hanya menang sekali daripada enam pertemuan Serie A dengan Milan.

Namun Milan bakal beraksi di tempat lawan malam esok tanpa pertahanan Fode Ballo-Toure yang tersisih empat bulan akibat kecederaan bahu.

Kelab bawahan Cremonese berdepan tugas sukar di tempat sendiri menentang skuad Massimiliano Allegri, Juventus selepas masih gagal menang aksi liga musim ini.

Juventus dijangka menurunkan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny selepas pulih kecederaan leher manakala Angel Di Maria dan Leandro Paredes turut memperkuatkan pasukan mereka selepas tampil cemerlang membantu Argentina menjuarai Piala Dunia.



Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button