Azam baharu Korea Utara majukan lagi senjata nuklear

Azam baharu Korea Utara majukan lagi senjata nuklear

Azam baharu Korea Utara majukan lagi senjata nuklear
RAKYAT Korea Utara menyambut tahun baharu di Pyongyang.-AGENSI

PYONGYANG: Korea Utara melancarkan jumlah peluru berpandu terbanyak sepanjang tahun lalu dan dunia kini tertumpu kepada strategi baharu yang bakal dirancang Presiden, Kim Jong-un selepas beliau mengisytiharkan negaranya sebagai negara senjata nuklear.

Sepanjang tahun lalu, Korea Utara membuat kemajuan yang ketara dalam senjatanya dan tetap mahu mengekalkan setiap senjatanya.

Tindakan itu termasuk menguji peluru berpandu jarak dekat yang direka untuk membedil Korea Selatan, diikuti oleh peluru berpandu jarak pertengahan yang boleh menyasarkan Jepun.



Menjelang akhir tahun lalu negara itu berjaya menguji peluru berpandu balistik antara benua yang paling berkuasa setakat ini iaitu Hwasong 17 yang secara teorinya mampu sampai ke tanah besar Amerika Syarikat (AS).

Jong-un turut mendedahkan, senjatanya tidak lagi direka hanya untuk mencegah tetapi boleh digunakan untuk menyerang dan memenangi peperangan.

Justeru, senarai teratas rancangan Korea Utara tahun ini adalah meningkatkan pengeluaran senjata nuklear termasuk pengeluaran besar-besaran senjata nuklear taktikal yang lebih kecil untuk digunakan dalam perang menentang Korea Selatan.

Menurut pakar senjata nuklear, Ankit Panda, perkara itu merupakan perkembangan paling serius dan berbahaya kepada dunia.




DISYORKAN UNTUK ANDA :


“Untuk membuat senjata nuklear taktikal, Korea Utara mesti menghasilkan bom nuklear kecil, yang boleh dimuatkan pada peluru berpandu kecil. Dunia masih belum melihat bukti bahawa Pyongyang berjaya melakukannya.

“Komuniti perisikan menghabiskan sebahagian besar tahun lalu menunggu untuk menguji peranti sedemikian, tetapi ujian itu tidak pernah dibuat dan ramai menjangka perkara itu mungkin berlaku tahun ini,” jelasnya.

Perkara yang turut berada dalam senarai tahun baharu Jong-un adalah satelit pengintip yang didakwa akan dilancarkan ke orbit musim bunga ini bersama peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dengan bahan api pepejal yang lebih kukuh dan boleh ditembak ke AS tanpa amaran berbanding model semasa.

Dapat diandaikan tahun ini Pyongyang akan terus menguji, memperhalusi dan mengembangkan senjata nuklearnya secara agresif, bertentangan dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pendapat itu dikukuhkan dengan tindakan Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu kurang tiga jam sebelum sambutan tahun baharu.

Bagaimanapun Panda berkata, kebanyakan pelancaran peluru berpandu pada tahun akan datang mungkin bukan lagi ujian, tetapi latihan sebenar kerana Korea Utara kini bersedia untuk menggunakan peluru berpandunya dalam kemungkinan konflik.

Jelasnya lagi, dengan senarai matlamat yang begitu luas untuk diselesaikan, tidak mungkin pemimpin Korea Utara itu akan memilih tahun ini untuk kembali berbincang dengan AS.

“Pusingan terakhir rundingan nyahnuklear berakhir pada 2019, dan sejak itu Jong-un tidak menunjukkan sebarang tanda mahu kembali ke meja rundingan.

“Jong-un mungkin menunggu sehingga beliau dapat membuktikan tanpa keraguan bahawa Korea Utara mampu memusnahkan AS serta Korea Selatan dan ketika itulah beliau akan kembali untuk berunding dengan syarat-syarat baharunya,” katanya.

Dalam pada itu, Peganalisis Korea Utara, Rachel Minyoung Lee berkata, sepanjang tahun lalu, Korea Utara dilihat semakin rapat dengan China dan Russia sekali gus mungkin dalam proses mengubah dasar luarnya.

“Jika Korea Utara tidak lagi melihat AS sebagai entiti yang perlu untuk keselamatan dan kelangsungan negaranya, perkara itu akan memberi kesan yang mendalam kepada bentuk rundingan nuklear masa depan,” ujarnya.-AGENSI

 

 

Azam baharu Korea Utara majukan lagi senjata nuklear


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Kes Rasuah Zeti hanya ‘Tips of the iceberg” 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker