Baki 21,000 tiket untuk siapa?

Kuala Lumpur: Pengumuman hanya 59,000 tiket akan dijual bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini nyata mendapat respon kurang menyenangkan daripada peminat bola sepak tanah air.

Ini kerana, rata-rata peminat kecewa apabila mereka gagal mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut apabila kesemua tiket diperuntukkan sudah habis terjual meskipun kapasiti stadium itu boleh memuatkan hampir 80,000 penonton.



Antara pihak yang meluahkan rasa kecewa dengan jumlah tiket yang dijual pada aksi tersebut ialah penyokong setia skuad kebangsaan Ultras Malaya yang kesal dengan tindakan tersebut.

“Tak faham lagi ke, tiada acara yang lebih penting dari Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil. “Rumah kita ke rumah siapa ni? Kalu (kalau) nak ‘order,’ barang sampai je ni,” tulisnya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan semalam mengumumkan hanya 59,000 tiket ditawarkan kerana 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan gara-gara kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu, namun situasi itu tidak dapat dielakkan.



Untuk rekod, Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir Piala AFF sebagai naib juara Kumpulan B dengan mengutip sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 kelmarin.

Vietnam pula muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

Sekiranya menundukkan pasukan paling cemerlang, Thailand yang mempunyai enam gelaran, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang antara Vietnam dengan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Januari ini.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button