Lokman kebanggaan Orang Asli

Kuantan: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berbangga dengan pencapaian Lokman Bah Din yang juga Orang Asli kerana terpilih menyarung jersi Sri Pahang FC musim ini.

Beliau berkata, pencapaian Lokman diharap membuka mata lebih ramai lagi anak muda dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk bergiat aktif dalam bidang sukan di negara ini.

“Berita baik yang sekian lama kita tunggu-tunggu, akhirnya menjadi realiti apabila dikhabarkan Lokman terpilih untuk bersama skuad Sri Pahang FC pada musim ini.

“Tahniah, dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada beliau. Lokman adalah anak muda Orang Asli yang baru berusia 20 tahun, berasal dari kawasan saya, Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis.



“Saya amat berbangga mendengar khabar adanya anak muda Orang Asli yang seberani Lokman ini dalam menyahut cabaran dalam pelbagai bidang, baik akademik, pentadbiran mahupun sukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Justeru, Wan Rosdy percaya pemilihan Lokman ke dalam skuad Sri Pahang FC akan membuka mata lebih ramai lagi anak Orang Asli untuk sama bergiat aktif dalam bidang sukan.

“Diharapkan dengan kehadiran Lokman akan memberi impak tertentu dalam skuad Sri Pahang serta berupaya mencipta kejayaan demi kejayaan dalam mengharungi saingan Liga Super Malaysia musim ini. Hogoh Pahang Hogoh!,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook Sri Pahang FC semalam, kelab itu berbesar hati mengumumkan penyerang muda, Lokman sebagai rekrut terbaru Sri Pahang.



Lokman antara pemain Orang Asli berbakat besar dari Kampung Simoi Baru, Pos Betau pernah bersama skuad Piala Belia Pahang sebelum menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN tahun lalu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker