Pacquiao mahu lawan jaguh UFC

Tokyo: Manny Pacquiao mengumumkan dia kembali ke gelanggang tinju dan memberi bayangan akan menentang bekas jaguh UFC.

Ikon Filipina itu bersara secara rasmi selepas tewas di tangan petinju Cuba, Yordenis Ugas pada Ogos 2021.

Namun susulan kekalahan pada pemilihan presiden di Filipina, Pacquaio membuat pusingan U dan kembali bertarung pada Disember lalu.



Dia menewaskan jaguh YouTube dari Korea Selatan, DK Yoo dalam pertarungan pertunjukan dan kini menandatangani kontrak dengan penganjur MMA Jepun, Rizin.

Pacquiao, 43, berkata: “Ya akan ada pertarungan hebat di Rizin dan atmosfera penonton di sini juga hebat.”

Juara lapan divisyen itu juga mengesahkan kontraknya untuk tinju dan bukannya ‘kickboxing’ atau MMA.



Selepas Pacquaio menewaskan DK Yoo, dia memberi bayangan untuk menentang jaguh MMA di gelanggang tinju dan menurutnya: “Sangat bagus menyertai pertarungan pertunjukan pada 11 Disember lalu, saya gembira dengan kemenangan itu.

“Lawan saya adalah jaguh seni bela diri yang tak tahu mengenai tinju, jadi itu sebabnya dia tampak sukar di gelanggang.

“Tetapi pada pertarungan akan datang di sini, Jepun, ia bakal berbeza kerana lawan saya adalah jaguh profesional UFC, petarung MMA yang tahu cara melepaskan tumbukan dan mempertahankan diri.”

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button