Revolusi Ten Hag di Old Trafford mula tuai hasil

MANCHESTER, England: Usaha gigih Manchester United untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan berterusan dengan kemenangan keempat berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam Bournemouth 3-0 di Old Trafford semalam.

Selepas tewas dua aksi pertama liga musim ini, transformasi United di bawah kendalian Erik ten Hag sesuatu yang luar biasa.

Ketika United menghuni tangga tercorot selepas kecundang di tangan Brighton dan Brentford pada permulaan karier Ten Hag, impian mereka untuk berada dalam kelompok empat teratas dilihat berkubur sebelum hujung Ogos lagi.



Namun revolusi tenang Ten Hag menyaksikan keyakinan dan persembahan United meningkat sekali gus melonjak secara perlahan-lahan dalam carta dan kini terikat mata dengan pasukan tangga ketiga Newcastle, dengan kelebihan beraksi kurang satu perlawanan.

Jika Manchester City gagal mengatasi di Chelsea awal pagi Jumaat ini, United akan mengatasi kelab juara kendalian Pep Guardiola itu sekiranya mereka menang pada pertembungan jiran tetangga 14 Januari ini.

Tiada siapa yang boleh meramalkan senario itu selepas permulaan buruk United, tetapi ia satu tahap kerja menakjubkan dilakukan Ten Hag untuk meletakkan mereka di posisi sedemikian.

Bos United melakukan empat perubahan daripada pasukan yang menang 1-0 di Wolves ketika ambang Tahun Baharu.



Kapten Harry Maguire dan Victor Lindelof kembali di pertahanan tengah, dengan Luke Shaw beraksi semula di tempat asalnya pertahanan kiri, selepas memenuhi kekosongan di pertahanan tengah sebelum ini.

Marcus Rashford, yang digugurkan ke bangku simpanan bagi aksi Wolves selepas lewat menghadiri perjumpaan pasukan apabila terlajak tidur, juga kembali dalam kesebelasan utama.

Kejutan terbesar adalah pemain tengah Donny van de Beek, yang kali terakhir beraksi dalam liga pada 6 November lalu ketika tewas 3-1 di Aston Villa.



Perlawanan itu menyaksikan Bruno Fernandes beraksi kali ke-150 bersama United, manakala David De Gea berkongsi tangga ke-10 dalam senarai sepanjang zaman dengan 510 perlawanan buat Red Devils.

Penjaga gol dari Sepanyol itu dianggap sebagai hero United sekalipun Shaw dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Gol daripada Casemiro, Shaw dan Rashford melengkapkan satu kemenangan rutin buat Red Devils di Old Trafford namun mereka pastinya terhutang budi kepada penjaga gol itu yang melakukan beberapa halangan mengagumkan.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Tetapi hari ini, ia bukanlah permainan terbaik kami,” akui Ten Hag. “Kami perlu jujur, kami tidak beraksi bijak sebagai satu pasukan.



“Kami menyempurnakan gol-gol hebat, tetapi ada kalanya kami agak bernasib baik, dan beberapa tindakan penyelamat hebat daripada David (de Gea). Kami perlu bertindak lebih pintar sebagai satu pasukan.

“Ada banyak ruang ditinggalkan selepas mendahului 2-0, kadangkala kami perlu memegang bola dan mengenal pasti bila masa yang sesuai untuk menjaringkan gol,” kata pengendali dari Belanda itu.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button