Sidang Kongres AS kecoh

Sidang Kongres AS kecoh

Sidang Kongres AS kecoh
ANGGOTA Kongres meninggalkan dewan selepas tiga pusingan undian gagal memilih Speaker Dewan Perwakilan baharu di bangunan Capitol di Washington, D.C. – AGENSI

WASHINGTON: Suasana sidang Kongres Amerika Syarikat (AS) tegang apabila parti Republikan berhaluan kanan menghalang pelantikan Kevin McCarthy sebagai Speaker Dewan Perwakilan, selepas beberapa siri pengundian yang memalukan kepada anggota parti tersebut.

Ahli kongres berusia 57 tahun dari California itu hanya memerlukan sokongan majoriti mudah untuk dipilih sebagai penggubal undang-undang tertinggi Washington, yang memimpin urusan Dewan Perwakilan dan merupakan individu kedua dalam urutan pengganti presiden.

Namun, buat pertama kali dalam tempoh 100 tahun, parti Republican gagal memilih Speaker dalam tiga pusingan undian walaupun sesi itu mendapat liputan menyeluruh di semua rangkaian televisyen AS.



Parti itu ketika ini berdepan kemelut pelantikan Speaker yang dilihat boleh memburukkan lagi perpecahan dalaman dan menjejaskan kerjaya politik McCarthy.

McCarthy hanya memerlukan 218 undi anggota Dewan Perwakilan, yang kembali dikuasai Republikan dengan majoriti 222-212 selepas pilihan raya pada pertengahan tahun lalu.

Namun, beliau gagal meraih sokongan para anggota di dalam partinya termasuk beberapa sekutu berprofil tinggi bekas presiden AS, Donald Trump.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Beliau menerima 19 undi `tidak menyokong’ dari ahli partinya sendiri dalam dua pusingan undian pertama, diikuti dengan 20 undi `menolak’ pada pusingan undian ketiga.



Prestasi McCarthy begitu lemah sehingga beliau tewas kepada pemimpin Demokrat, Hakeem Jeffries dalam ketiga-tiga pusingan undian tersebut.

Dilaporkan, McCarthy sudah lama mengimpikan jawatan itu selepas menarik diri pada 2015 di tengah-tengah beberapa isu dan pertikaian sayap kanan.

Kali ini McCarthy sekali lagi ‘tersungkur’ disebabkan angkara anggota parti sayap kanan, walaupun sedia tunduk kepada gesaan mereka untuk menolak siasatan Demokrat termasuk tuduhan terhadap Presiden AS, Joe Biden, selepas mengambil alih White House.

Para penggubal undang-undang bersetuju untuk menangguhkan pengundian itu bagi membolehkan anggota Republican mengatur semula strategi bagi menjamin kemenangan pada pengundian seterusnya.

Sebelum ini, kali terakhir proses undian melebihi satu pusingan untuk memilih Speaker Kongres berlaku pada tahun 1923.

Pada 1855, proses pemilihan Speaker dilaksanakan dengan 133 pusingan pengundian selama dua bulan. – AFP

Presiden Peru dipecat, ditahan polis selepas umum bubar Kongres

Sidang Kongres AS kecoh


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Kes Rasuah Zeti hanya ‘Tips of the iceberg” 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker