Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari UMNO Selangor

Oleh – Syeikh Baran


Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari UMNO Selangor
Tengku Zafrul (dua dari kanan) mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor. – Gambar fail

Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin, Tengku Zafrul berkata, kebangkitan parti berkenaan di negeri itu dilihat hambar dan tidak tidak sehaluan dengan tema di UMNO pusat.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.

“Namun sejauh mana hebat perencanaan pusat, namun di Selangor pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya.

Ujar Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI) itu, pendekatan dan prinsip yang diamalkannya mudah iaitu jika tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan.

Menurutnya, Selangor merupakan sebuah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

“Demografi yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas.

“Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul, sewaktu dipilih sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dari Selangor dan dilantik selaku Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dahulu, beliau telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di negeri itu.

“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan,” katanya.

Bagi mengelakkan perkara itu terjadi, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai mengikut realiti semasa.

“Keputusan pilihan raya negeri tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” kata beliau.

Selain itu, kerjasama dengan parti lain haruslah diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan ini dan akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih.

“Saya sentiasa mendoakan agar ALLAH SWT merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga UMNO khususnya UMNO Selangor bertapak kembali di hati rakyat Negeri ini, Insya-ALLAH,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker