Man City menang tipis atasi Chelsea

LONDON: Juara bertahan, Manchester City menewaskan Chelsea yang dibelenggu kecederaan 1-0 hari ini untuk mengurangkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal kepada hanya lima mata.

Skuad kendalian Pep Guardiola nyata di bawah kemampuan sebenar pada babak pertama tetapi berubah selepas rehat dengan pemain simpanan, Jack Grealish dan Riyad Mahrez bergandingan untuk mendapatkan gol tunggal yang dijaringkan pemain Algeria itu pada minit ke-63.

Skuad kendalian Graham Potter, Chelsea hadir ke perlawanan itu dari tangga ke-10 liga dan dijangka akan berdepan ujian daripada pasukan tangga kedua, City namun mereka lebih baik pada babak pertama.



Bagaimanapun ia cerita berbeza pada babak kedua apabila pelawat menemui rentak serangan dan Guardiola mengakui mereka “jauh lebih baik dalam setiap bahagian” selepas rehat.

“Kami bergelut pada babak pertama — ia teruk dan perlahan tanpa rentak,” kata bos City itu kepada Sky Sports. “Pada babak kedua ia jauh lebih baik sejak minit pertama.

“Jelas tiga mata ini amat penting. Pemain menyedarinya. Kami berada lama di kedudukan atas. Tapi kami mencuba, kami ada Piala FA dan Piala Carabao (Liga) dan kemudian Old Trafford. Tapi ia penting untuk perlawanan ini, kemenangan hari ini.”



Chelsea bermula baik sejak minit pertama namun Raheem Sterling terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan hamstring dan digantikan Pierre-Emerick Aubameyang.

Potter juga tanpa pemain senior termasuk Mason Mount, Reece James, Ben Chilwell dan N’Golo Kante.

Perlawanan di Stamford Bridge agak tidak tersusun pada peringkat awal dengan pelawat mendominasi posisi tetapi gagal mencipta peluang.

Chelsea terlebih dahulu memberi ancaman pada minit ke-16 namun pertahanan City, John Stones menyelamatkan cubaan Christian Pulisic.



Guardiola membawa masuk Grealish dan Mahrez selepas sejam permainan untuk memperkuatkan barisan serangannya.

Keputusan itu berbayar tidak lama kemudian apabila Grealish menghantar bola dari kiri dan Mahrez meledak dari jarak dekat.

Potter juga membuat perubahan dengan membawa masuk penyerang England, Conor Gallagher, namun gagal mencari gol penyamaan.

Chelsea kini hanya mencatat satu kemenangan dalam lapan aksi terakhir liga dan ketinggalan 10 mata daripada kelompok empat teratas.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button