Polis sedang tunggu Singapura jawab permintaan bantu siasatan libat suami Zeti

KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu pihak berkuasa Singapura menjawab permintaan untuk membantu mendapatkan keterangan dalam siasatan berkait dana 1MDB, melibatkan Tawfiq Ayman iaitu suami kepada bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Din, berkata pihaknya telah menghantar butiran yang dimohon Singapura.

“Kita sedang menunggu jawaban mereka,” katanya pada sidang media di kolej polis.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, pada September berkata Bukit Aman mengemukakan permohonan bantuan perundangan bersama (MLA) kepada pihak berkuasa Singapura dalam siasatan melibatkan Tawfiq, selepas meneliti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatannya.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura membabitkan akaun syarikat milik suami Zeti dan seorang individu lain.

Dana itu dikatakan daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Media melaporkan bahawa polis Singapura telah memaklumkan Bank Negara berhubung transaksi pada 2015 dan 2016 melibatkan syarikat dikatakan milik Tawfiq dan salah seorang anaknya.

Pihak berkuasa kedua-dua negara bertemu di Singapura pada Mac lepas, untuk mengenalpasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker