Buruh bunuh kekasih terlepas hukuman mati

 

Oleh – Syeikh Baran


Buruh bunuh kekasih terlepas hukuman mati
Gambar Hiasan

Seorang buruh binaan warga Indonesia terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan pada Rabu, menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh kekasihnya yang memutuskan hubungan, lima tahun lalu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memerintahkan Untung (hanya satu nama), 42, menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada pada 23 Disember 2018.

Dalam menyampaikan penghakiman, Abang Iskandar berkata, tiada merit dalam rayuan Untung.

Untung dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2020 kerana membunuh Asmaul Chasanah, 28, di tempat letak kereta Masjid Al-Husna di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada jam 10.15 malam, 22 Disember 2018.

Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 6 Oktober 2022.

Mengikut fakta kes, Untung membeli sebotol racun perosak dan membawa pisau dapur bersamanya dan menunggu mangsa di tempat letak kereta.

Dia memberitahu mangsa bahawa dia sedih dan berniat untuk membunuh diri. Dia kemudian meminum racun perosak dan menikam dirinya sendiri.

Sebalik meninggalkan tempat itu, mangsa mengejek dan menghina kekasihnya dan akibat provokasinya, lelaki itu menikam teman wanitanya yang berdiri dihadapannya.

Peguam Gooi Soon Seng dan Lim Wei Qi mewakili Untung manakala pihak pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kepada pemenjaraan selama 35 tahun terhadap seorang penganggur kerana membunuh anak teman wanitanya berusia enam tahun, Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan pada 2018.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan Noraizuwan Hamali, 32, dikenakan sebatan 12 kali dan menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan pada 19 April 2018.

Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan membunuh.

Pada 21 Januari 2022, Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhkan hukuman mati terhadap Noraizuwan selepas didapati bersalah membunuh Muhammad Rayyan di sebuah rumah di Kampung Jejawi, Kangar, Perlis antara jam 3.35 petang dan 12.10 tengah malam pada 18 April 2018.

Peguam Farida Mohammad mewakili Noraizuwan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker