Kerajaan Taliban tidak layan tekanan gesa batal larangan wanita masuk universiti

Kerajaan Taliban tidak layan tekanan gesa batal larangan wanita masuk universiti

Kerajaan Taliban tidak layan tekanan gesa batal larangan wanita masuk universiti
Utusan Kanan PBB, Markus Potzel mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan di Kabul, bagi membincangkan mengenai larangan wanita mendapatkan hak pendidikan di universiti. – Foto Menteri Pengajian Tinggi Taliban/AP

KABUL: Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Nida Mohammad Nadim menegaskan pendirian Taliban yang tidak akan melayan sebarang tuntutan dalam bentuk tekanan terhadap prinsip Islam termasuk mengenai larangan wanita negara itu mendapatkan hak pendidikan di universiti.

Perkara itu dinyatakan jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan, Ziaullah Hashmi, selepas Nida bertemu dengan utusan kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Markus Potzel.

Nida adalah menteri yang bertanggungjawab melarang kemasukan wanita ke universiti sejak 20 Disember lalu.



Beliau mempertahankan larangan itu atas alasan ia diperlukan untuk menghalang percampuran jantina di universiti, selain percaya beberapa subjek melanggar prinsip Islam.

Dalam pertemuan itu, Ziaullah berkata, Nida memaklumkan kepada Potzel bahawa pengkritik menyelar pelaksanaan hal ehwal Islam dengan menggunakan pendidikan sebagai alasan untuk mencapai ‘matlamat jahat’ mereka.

“Kami perlu memastikan tiada ruang untuk mereka mengkritik, dan pada masa sama memenuhi harapan warga Afghanistan yang sudah berkorban demi pemerintahan Islam dan pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini,” kata Nida kepada Potzel dalam pertemuan itu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Pihak berkuasa Taliban mengarahkan universiti awam dan swasta melarang kemasukan wanita sejak 20 Disember lalu, yang mencetus kritikan antarabangsa, termasuk dari negara majoriti Muslim seperti Arab Saudi, Qatar dan Turki.



Ia kemudian disusuli dengan larangan terhadap wanita Afghanistan bekerja dengan badan bukan kerajaan (NGO) nasional dan antarabangsa, yang turut mengundang kecaman global dan penggantungan perkhidmatan oleh beberapa agensi bantuan utama.

Potzel bertemu dengan Nida untuk berbincang mengenai larangan wanita negara itu mendapatkan hak pendidikan di universiti.

Beliau juga adalah pegawai antarabangsa pertama yang bertemu dengan menteri dalam pentadbiran Taliban itu, sejak larangan berkenaan dilaksanakan bulan lalu.

“Kita menggesa larangan itu dibatalkan segera dalam pertemuan dengan Nida, dan menyifatkan negara itu memasuki fasa baharu krisis.



“Larangan Taliban terhadap wanita dalam pendidikan dan bekerja untuk agensi bantuan akan menjejaskan semua warga Afghanistan,” katanya.

Potzel turut bertemu dengan Menteri Ekonomi, Qari Din Mohammed Hanif yang mengeluarkan larangan pekerjaan NGO; Timbalan Perdana Menteri, Abdul Salam Hanafi; Menteri Dalam Negeri, Sirajuddin Haqqani; dan bekas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai untuk berbincang mengenai tindakan keras terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan. – AP

Taliban pertahan larangan masuk universiti kepada wanita



Kerajaan Taliban tidak layan tekanan gesa batal larangan wanita masuk universiti


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


‘Tok Mat Hasan’ tidak pertahankan jawatan?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button