Seludup daun ketum guna lori tangki simen

KOTA BHARU: Taktik licik satu sindiket yang menyeludup masuk daun ketum ke Kelantan menggunakan lori tangki simen tumpas selepas kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Susulan itu, dua lelaki iaitu pemandu lori dan kelindan masing-masing berusia 28 tahun ditahan polis di Batu 6, Batu Melintang, Jeli, awal pagi semalam.

Operasi jam 4 pagi itu turut merampas 200 bungkusan hitam yang didalamnya berisi daum ketum membabitkan nilai keseluruhan RM20,000.



Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata tangkapan itu dilakukan selepas pegawai dan anggota yang membuat Ops rondaan mendapati lori tangki simen berkenaan dalam keadaan mencurigakan apabila berlaku pergerakan awal pagi.

“Susulan itu, pegawai dan anggota polis menahan untuk pemeriksaan sebelum mendapati terdapat satu botol air ketum yang berada di bahagian kaki suspek.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui 20 bungkusan daun ketum yang disorokkan di bahagian bawah tangki simen berkenaan.

“Kita percaya bekalan terbabit dibawa dari utara untuk pasaran Kelantan dan kedua-dua suspek berkenaan bekerja sebagai pemandu lori,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.



Muhamad Zaki berkata, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga positif dadah jenis Benzo dan masing-masing mempunyai dua dan tiga rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 10 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Lori tangki simen berkenaan turut disita untuk siasatan lanjut dan polis memohon kepada pengusaha lori tangki simen supaya lebih berhati-hati kerana itu adalah salah satu taktik yang digunakan sindiket untuk menyeludup ketum.

“Ini kali kedua kita melakukan rampasan membabitkan lori tangki simen di mana kali pertama pada 2021 dan pemeriksaan lebih lanjut akan dijalankan selepas ini,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button