City mudah singkir Chelsea
LONDON: Manchester City terus memberikan tekanan terhadap bos Chelsea, Graham Potter apabila Riyad Mahrez mencipta inspirasi untuk kemenangan 4-0 pada pusingan ketiga Piala FA manakala Aston Villa tersingkir selepas kekalahan mengejut 2-1 kepada pasukan divisyen empat, Stevenage.
Selepas pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) Newcastle, Nottingham Forest dan Bournemouth dimalukan oleh kelab liga bawahan semalam, Villa turut menerima nasib serupa menerusi dua gol minit terakhir Stevenage.
Juara EPL, City jarang dimalukan sebegitu dan membuat penampilan terbaik apabila mengetepikan Chelsea dengan mudah di Stadium Etihad.
Pep Guardiola membuat tujuh perubahan terhadap skuad City yang menang 1-0 di Chelsea pada aksi EPL Khamis lalu.
Namun City masih terlalu dinamik berdepan Chelsea apabila Mahrez meledak sepakan percuma dan penalti lewat permainan manakala Julian Alvarez dan Phil Foden juga menemui sasaran.
Pada pusingan keempat, City akan menanti kehadiran pendahulu EPL, Arsenal atau pasukan tangga ketiga, Oxford, yang akan bertemu awal pagi esok.
City sudah menyingkirkan Chelsea daripada Piala Liga musim ini dan kekalahan pertama kelab barat London itu pada pusingan ketiga Piala FA sejak 1998 adalah satu lagi ancaman besar terhadap mereka.
Mungkin terlalu awal buat Potter berasa bimbang akan dipecat, hanya empat bulan selepas dia tiba dari Brighton bagi menggantikan Thomas Tuchel, pengendali berusia 47 tahun itu mungkin tudak dapat tidur malam memikirkan prestasi pasukannya.
Chelsea hanya menang tiga daripada 12 perlawanan terakhir membabitkan semua kejohanan dan berkedudukan ke-10 EPL, 10 mata di belakang empat pasukan teratas dan pemilik dari Amerika Syarikat pastinya mahu Potter lebih bagus.
“Keputusan dalam tempoh masa yang kecil tidak positif. Anda boleh membuat alasan dan mencari sebab atau berkata ia tidak cukup bagus. Kedua-dua jawapan itu betul,” kata Potter.
“Kami perlu terus meningkat dan bersatu kerana jelas kami menderita sebagai sebuah kelab bola sepak dan ia langsung tidak bagus.”
AFP