GST perlu kadar rendah, rangkumi semua barang

Kerajaan dicadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar serendah mungkin, tetapi merangkumi seluruh barangan dan perkhidmatan tanpa pengecualian termasuklah harga minyak runcit, kata penganalisis.

Ia dalam usaha meningkatkan kecekapan kutipan hasil, sekali gus mengukuhkan kembali kedudukan kewangan negara bagi mendepani ketidaktentuan global.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, berkata langkah sedemikian boleh membuatkan kos pengendalian GST menjadi mudah dan murah, sekali gus membenarkan kadar cukai kepenggunaan itu diperkenalkan hanya antara dua hingga tiga peratus sebagai permulaan.



“Kaedah ini juga digunakan oleh Singapura apabila GST diperkenalkan pada 1994 yang bermula pada kadar tiga peratus dan kemudiannya dinaikkan secara beransur-ansur kepada empat peratus pada 2003; lima peratus (2004); tujuh peratus (2007) dan akhirnya lapan peratus (2023).

“Ini berbeza daripada Indonesia apabila kadar GST negara itu kekal pada 10 peratus sejak 1984. Ia hanya dinaikkan kepada 11 peratus pada April tahun lalu dan mungkin dinaikan ke 12 peratus pada 2025 kelak. Secara umumnya, kadar GST yang terlalu tinggi ada keburukan juga,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Firdaos berkata, isu mengenai pengenalan GST ini bermula sejak 1980-an lagi dan cukai berkenaan bukanlah sistem yang boleh diketepikan begitu sahaja oleh kerajaan, sebaliknya ia perlu digunakai dan diperhalusi dari semasa ke semasa.

“Jika tidak, posisi fiskal kerajaan akan jauh ketinggalan daripada perkembangan ekonomi negara.



“Ada beberapa sebab mengapa kita perlukan GST. Antaranya, hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun sejak 1992 daripada 26.2 peratus ke 15.1 peratus pada 2021.

“Pertumbuhan hasil kerajaan pada asas tahun ke tahun menunjukkan arah aliran negatif dalam kebanyakan tempoh dekad yang lalu walaupun GST diperkenalkan pada 1 April 2015.

“Hutang kerajaan berbanding KDNK sudah meningkat sejak krisis kewangan dunia 2008, dan lebih tinggi lagi disebabkan oleh COVID-19,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa caj perkhidmatan hutang, atau kos pengeluaran bon kerajaan sudah melepasi tahap pentadbiran sebanyak 15 peratus pada 2020, sekali gus menunjukkan pertumbuhan hasil kerajaan yang lemah.



“Perbelanjaan kerajaan semakin meningkat dengan kadar subsidi turut bertambah, malah mungkin mencecah RM71 bilion tahun lalu yang akan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.

“Secara umumnya, tanpa aliran hasil kerajaan yang mampan, autonomi fiskal dan monetari kita akan terhakis tanpa kita sedari, sekali gus mengurangkan keupayaan kerajaan untuk mentadbir secara berkesan pada masa hadapan,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak pula berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan dengan serius pengenalan semula GST 2.0 pada kadar empat peratus.

Katanya, sifat dan mekanisme GST dapat membantu kerajaan mengutip hasil cukai, khususnya dalam sektor ekonomi tidak formal.



“Ia sudah pasti tidak akan memberi kesan signifikan kepada rakyat secara keseluruhan dengan GST pada kadar empat peratus. Sistem ini adalah lebih adil dalam kutipan cukai, terutamanya ke atas industri tidak formal.

“GST 2.0 adalah pendekatan terbaik untuk mengesan industri yang lari daripada pelaporan dan bayaran cukai. Dicadangkan pemantauan harga melalui mekanisme GST 2.0 oleh pembayar cukai dilaksanakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Dengan pengenalan GST 2.0, Malaysia akan melangkah setapak lagi ke arah status negara maju dan rakyat akan berada dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus dan cekap,” katanya.

Beliau berkata, kebergantungan kepada cukai langsung dalam masa panjang akan membebankan peniaga dan individu secara mikro kerana negara ini mempunyai masyarakat yang semakin tua dan tidak lagi meyumbang kepada sistem percukaian.



“Oleh itu, pengenalan GST 2.0 adalah jalan keluar pada bebanan itu. Perlaksnaan GST sebelum ini dapat menurunkan cukai korporat dan cukai individu ke paras lebih kompetitif serta progresif berbanding negara jiran bagi menggalakkan perniagaan baharu dan pelaburan asing dalam negara.

“Ini juga trend seluruh dunia dan dibuktikan apabila cukai korporat dan peribadi diturunkan beberapa kali semasa era GST dilaksanakan.

“Bantuan yang boleh diberi daripada segi pemberian tambahan bantuan kewangan atau baucar bulanan kepada gologan B40 (subsidi bersasar),” katanya.

Mohd Fairuz berkata keunikan GST adalah disebabkan ia tidak dikenakan ke atas kos, tetapi nilai tambah kepada barangan.



Katanya, GST juga tidak dimasukkan ke dalam harga atau kos keseluruhan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button