Bale umum persaraan
London: Gareth Bale mengumumkan persaraannya daripada bola sepak sebagai salah seorang pemain terhebat Britain selepas mencipta karier yang menakjubkan peringkat tempatan ataupun antarabangsa.
Pemain Wales itu pernah menjadi pemain termahal di dunia apabila berpindah ke Real Madrid dari Tottenham pada 2013 dan memenangi Liga Juara-Juara sebanyak lima kali bersama kelab gergasi Sepanyol itu.
Dia pasti akan diingati dan disayangi di tanah airnya kerana pencapaiannya membawa Wales ke peringkat tertinggi dalam saingan antarabangsa iaitu dua Kejohanan Eropah dan Piala Dunia pertama sejak 1958.
Kemuncak kariernya, Bale mencetuskan inspirasi kepada Wales untuk membawa pasukan itu ke separuh akhir Euro 2016 dalam kejohanan antarabangsa utama pertama mereka selepas 58 tahun.
Pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan kariernya dengan rekod 111 penampilan antarabangsa bersama Wales dan 41 gol.
“Perjalanan saya di pentas antarabangsa adalah satu yang mengubah bukan saja hidup saya tapi siapa saya,” kata Bale dalam satu surat kepada penyokong Wales.
“Keberuntungan menjadi orang Wales dan dipilih untuk bermain dan kapten Wales memberikan saya sesuatu yang tidak dapat dibandingkan dengan pengalaman lain yang pernah saya alami.”
Kerjaya Bale bermula di Southampton, di mana dia membuat penampilan sulung pada usia hanya 16 tahun dan menarik perhatian semasa hanya satu musim penuh dalam Kejuaraan peringkat kedua.
AFP