Perasaan ke Tanah Suci kali ini berbeza – Wan Maimunah

Pelakon yang mendapat jolokan bintang air mata, Wan Maimunah mengakui, perasaannya sedikit berbeza apabila diberi peluang mengerjakan ibadah umrah buat kali kedua pada 1 Disember ini.

Wan Maimunah berkata, hanya Allah SWT yang tahu perasaannya apabila dapat kembali ke Tanah Suci Mekah, sekali gus mengubat kehampaan kerana tidak dapat menunaikan haji sebelum ini kerana pandemik Covid-19.

“Sebenarnya saya telah merancang untuk mengerjakan haji, namun terpaksa dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak mengapa, Allah Maha Mengetahui apabila saya mendapat rezeki mengerjakan umrah sekali lagi.

“Saya berterima kasih kepada seorang hamba Allah yang sudi menaja saya pergi mengerjakan umrah. Saya tidak kenal dia siapa, cuma dihubungi oleh wakilnya yang menyampaikan hasrat tersebut.

“Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya saya apabila diberitahu bakal ke Tanah Suci sekali lagi,” katanya ketika ditemui di set penggambaran drama Dosa Tak Terampun di Kuang, Selangor, baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata Wan Maimunah, dia mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada semua pihak sebelum berangkat ke Mekah kerana tidak pasti apakah masih berpeluang bersua muka nanti.

“Saya tidak tahu mengapa perasaan mengerjakan umrah kali ini berbeza. Terdetik juga persoalan dalam hati, adakah saya tidak akan balik selepas mengerjakan umrah nanti?

“Saya rasa umpama akan ‘pergi’ di sana dan jika itu berlaku, saya reda. Itu semua kehendak-Nya,” ujarnya.

Dalam drama arahan Bade Azmi itu, pelakon legenda ini melakonkan watak sebagai ibu tunggal bernama Jamaliah.

© Utusan Online 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker