Zahid jelaskan isu MB Johor esok

Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Polemik pelantikan Menteri Besar Johor dijangka antara isu akan disentuh dalam ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), esok.

Ahmad Zahid turut memberi bayangan membangkitkan isu desakan dan bantahan akar umbi dan pemimpin parti itu mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secepat mungkin.

“Kedua-dua isu itu saya akan jawab esok,” katanya ringkas pada sidang media di selepas melawat persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan dan bantahan beberapa pihak mengenai pelaksanaan PRU-15 secepat mungkin, serta polemik pelantikan Menteri Besar Johor.

Isu desakan pelaksanaan PRU-15 timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini apabila menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pasca PRN Johor, polemik pelantikan Menteri Besar Johor tercetus apabila Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang dicanang sebagai calon Menteri Besar, tidak dilantik ke jawatan itu selepas pilihan raya.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang terpilih dan dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Isnin lalu, media melaporkan seramai 39 ADUN Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Hasni sebagai Menteri Besar Johor.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker