Pembedahan hidung, sedut lemak paling popular

Ramai yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kelihatan wajah lebih cantik, mendapatkan tubuh ideal dan menggiurkan.

Lantas, untuk mendapatkan wajah dan tubuh yang sempurna sama ada wanita atau lelaki sanggup melakukan pelbagai pembedahan plastik, botox dan sebagainya.

Namun, perlu berwaspada akibat pembedahan plastik kesannya ada yang boleh menyebabkan kanser.

Mengikut statistik terbaharu yang diterbitkan Persatuan Pembedahan Plastik Estetik Antarabangsa (ISAPS), mendapati produser menyedut lemak atau ‘liposuction’ mengatasi pembedahan membesarkan payudara sekali gus menjadikan pembedahan kosmetik paling popular di dunia.

Hal itu meningkatkan kebimbangan terutama apabila membincangkan persoalan mengenai implan yang dikaitkan dengan kanser.

Prosedur garis bentuk atau ‘contouring’, yang mana menggunakan kaedah sedutan untuk membuang lemak berlebihan, menyumbang 14.8 peratus daripada pembedahan kosmetik yang dilakukan di seluruh dunia, manakala bilangan prosedur pembesaran payudara jatuh kepada lebih 13 peratus.

Lonjakan trend perubatan estetik

Perubahan trend berkenaan adalah sebahagian daripada lonjakan global dalam perubatan estetik, yang menyaksikan lebih 30 juta prosedur pembedahan dan bukan pembedahan dijalankan pada 2021, melonjak 19.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Data itu adalah sebahagian daripada tinjauan tahunan ISAPS paling terbaharu, menunjukkan industri pembedahan kosmetik bukan sahaja pulih daripada dua tahun berturut-turut penurunan berkaitan COVID-19, tetapi bahkan berkembang jauh melebihi paras sebelum pandemik.

Jumlah prosedur pembedahan meningkat lebih 33 peratus antara 2017 dan 2021, manakala prosedur bukan pembedahan (yang paling popular ialah toksin botulinum atau yang dikenali Botox) meningkat lebih daripada 54 peratus dalam tempoh sama.

Bilangan pembesaran payudara juga sedikit meningkat iaitu sebanyak 0.5 peratus dalam tempoh empat tahun sama.

Bagaimanapun pengarang laporan itu, Dr Gianluca Campiglio, menunjukkan penurunan relatif sekiranya dibandingkan dengan prosedur lain.

Beliau mengaitkan trend itu dengan kebimbangan terhadap BIA-ALCL, sejenis limfoma bukan Hodgkin, iaitu kanser sistem imun yang dikaitkan dengan implan.

Campiglio yang bekerja sebagai pakar bedah plastik di Itali, turut menekankan mengenai peningkatan mendadak dalam bilangan pesakit yang ingin membuang implan payudara mereka, iaitu satu prosedur yang meningkat hampir 50 peratus di seluruh dunia dalam tempoh empat tahun lalu.

“Peningkatan yang lebih rendah dalam prosedur dalam membesarkan payudara, menyaksikan peningkatan berkaitan dalam pembuangan implan.

“Ini mencerminkan pengalaman kami berikutan penerbitan laporan mengenai BIA-ALCL pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembedahan hidung, perut paling popular

Dalam pada itu, beliau mengumumkan pertumbuhan produser sedut lemak sebagai sebahagian daripada pertumbuhan yang lebih luas dalam minat dalam kontur badan.

Lebih daripada 1.9 juta prosedur ‘liposuction ‘direkodkan di seluruh dunia pada 2021, melonjak hampir 25 peratus daripada tahun sebelumnya.

Antara prosedur yang paling popular adalah rhinoplasty dan abdominoplasty atau pembedahan hidung dan perut.

Pembedahan kelopak mata adalah prosedur ketiga paling biasa di dunia pada 2021, dan ia paling popular dilakukan dalam kalangan lelaki.

Di bahagian lain dalam laporan itu, mencantikkan paha didapati sebagai bentuk pembedahan kosmetik yang paling cepat berkembang di dunia, meningkat lebih 53 peratus peratus daripada 2020.

Laporan itu juga menyerlahkan ‘peningkatan ketara’ dengan lebih 30 peratus, dalam penggunaan asid hyaluronik, yang biasanya disuntik sebagai ‘filler’ muka.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker