Anugerah buat industri fesyen, model & ratu cantik

 

Oleh Pena Merah

Anugerah buat industri fesyen, model & ratu cantik
Jason (enam dari kiri) bergambar bersama penasihat dan juri untuk anugerah MFMPA di MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam usaha memberi pengiktirafan kepada individu dan organisasi yang berjaya dalam industri diceburi, Persatuan Fesyen, Pemodelan dan Pageant Malaysia (MFMPA) akan menganjurkan Anugerah MFMPA pada 29 Februari ini.

Anugerah yang bakal berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu akan mengiktiraf mereka yang terlibat dalam industri fesyen, pemodelan, ratu cantik dan industri berkaitan di Malaysia.

Presiden MFMPA, Dr. Jason Hee berkata, objektif utama penganjuran anugerah itu adalah untuk mengiktiraf mereka yang terlibat dalam industri tersebut.

Menurutnya, sebanyak 60 anugerah akan disampaikan kepada calon-calon yang menyumbang dalam industri tersebut.

“Untuk anugerah ini, kita mempunyai beberapa kategori iaitu fesyen, pemodelan, ratu cantik dan industri berkaitan.

“Di bawah setiap kategori ini, ia dipecahkan kepada beberapa anugerah.

“Untuk kategori fesyen misalnya, kita ada anugerah untuk pereka fesyen, kurator fesyen dan lain-lain lagi yang berkaitan fesyen,” katanya.

JASON (Kanan) memberi cenderamata kepada Timbalan Pengarah Kanan bahagian Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim.
JASON (Kanan) memberi cenderamata kepada Timbalan Pengarah Kanan bahagian Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim.

Tambahnya, anugerah itu akan membantu penerima lebih dikenali apabila mendapat liputan media melalui majlis berkenaan.

Dalam pada itu, MFMPA yang memasuki tahun keempat penganjuran turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), termasuk agensinya iaitu Tourism Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Jason berkata, pemilihan pemenang anugerah itu adalah melalui pencalonan daripada industri.

“Mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam industri ini boleh mencalonkan mana-mana nama difikirkan sesuai.

“Kemudian, panel penilai terdiri daripada ikon dalam industri itu seperti Bon Zainal, Carrie Lee, Amber Chia, Datuk Nancie Foo, Carol Lee dan lain-lain lagi akan menilai calon-calon,” jelasnya.

Pencalonan untuk anugerah itu akan ditutup pada 7 Februari ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Jason di talian 012-921 1486 atau Nicole di talian 012-611 6752 dan e-mel, [email protected]

-Kosmo Online-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker