Lloris selar kelakuan Martinez

PARIS: Hugo Lloris berkata Emiliano Martinez melakukan perkara bodoh ketika kemenangan Argentina ke atas Perancis di final Piala Dunia 2022.

Martinez antara watak paling dibenci di Perancis selepas tindakannya ketika penentuan penalti berkenaan, serta cara dia meraikan kejayaan selepas perlawanan.

Lloris, yang bergelut menyelamatkan sepakan penalti, menyelar penjaga gol Aston Villa itu selepas mengumumkan persaraannya daripada bola sepak.

“Ada beberapa perkara yang saya tidak mampu lakukan. Memperbodohkan diri saya di depan gol, mengejek lawan dan melampaui batas. Saya tidak mampu lakukannya.

“Saya terlalu rasional dan lurus untuk pergi ke arah itu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menang seperti itu, tetapi saya juga tidak mahu kalau seperti itu,” kata Lloris.

Martinez dilihat cuba mengganggu mental pemain-pemain Perancis ketika penentuan penalti, malah turut membuang bola sebelum Aurelien Tchouameni gagal menyempurnakan sepakan penaltinya.

Ketika Tchouameni dan Kingsley Coman gagal menjaringkan penalti untuk Perancis, Lloris pula gagal menyelamatkan sebarang sepakan Argentina.

Martinez, 30, turut mengejek Kylian Mbappe ketika Argentina meraikan kemenangan dalam bilik persalinan dengan meminta rakan sepasukan bertafakur sejenak untuk penyerang Perancis itu.

Dia bagaimanapun antara pemain pertama yang memujuk Mbappe di atas padang selepas kekalahan Perancis mempertahankan gelaran Piala Dunia.

Mbappe terus menjadi sasaran Martinez apabila penjaga gol itu meraikan kejayaan Argentina di Buenos Aires dengan mendukung anak patung dengan wajah bintang Perancis itu yang meraikan harijadinya.

Lloris bagaimanapun enggan mengulas cara Martinez meraikan kejayaan memenangi anugerah Sarung Tangan Emas ketika final Piala Dunia.

“Dia sudah diadili untuk itu, tidak perlu saya tambah lagi. Ketika penentuan penalti, dia menggunakan segala helah yang ada untuk mengganggu kami,” katanya.

Lloris mengumpul 145 kap untuk Perancis, 122 daripadanya sebagai kapten, dan dia mengumumkan persaraannya selepas final Piala Dunia.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker