Bonus wajah cantik, nasi lemak laku keras
Kuala Lumpur: Berbekalkan resipi keluarga, harga murah, wajah cantik dan penampilan sopan, Sharifah Nurul Hamirah Syed Mohd Hamzi, 30, yang juga ibu tunggal mencuba nasib membuka gerai nasi lemak secara kecil-kecilan di tepi Jalan Sentul Pasar di sini, sejak 3 Januari lalu.
Ternyata rezeki berpihak kepadanya apabila jualannya mendapat sambutan luar biasa sehingga ada pelanggan misalnya dari Genting Highlands dan Perak, sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mencuba nasi lemak berkenaan.
Malah, ada juga pelanggan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk menampung kos penghantaran nasi lemak dari Sentul ke Putrajaya, Cyberjaya, Klang, Shah Alam serta kawasan Lembah Klang lain kerana tidak dapat hadir ke gerainya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia sangat terharu dengan sambutan dan sokongan orang ramai terhadap jualan diusahakannya terutama selepas video dia mempromosikan jualannya tular di TikTok.
“Saya akui memang ada suara negatif misalnya, muka cantik memanglah ada orang beli, kalau makcik mesti tak laku, malah ada juga yang cakap tak malu ke muka cantik jual tepi jalan?
“Bagi saya cantik itu bonus, apa yang penting niat saya berniaga mahu mencari rezeki halal untuk dua anak saya dan keluarga kerana besar tanggungjawab saya sebagai anak sulung.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih atas sokongan orang ramai kerana daripada hanya 200 bungkus pada hari pertama berniaga, kini jumlah itu meningkat kepada 700 bungkus,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini, hari ini.
Sehingga kini, video promosi jualan nasi lemak yang dimuat naik wanita itu pada 3 Januari lalu meraih 1.2 juta tontonan.
Menurutnya, setiap hari dia bangun seawal 4 pagi untuk memasak dan menyediakan bahan jualan dengan dibantu adik beradik dan ibu bapanya.
“Seperti mana kami mahu makan sedap, begitulah juga kami masak nasi lemak ini dengan penuh ikhlas dan kasih sayang menggunakan resipi keluarga.
“Kami hanya jual sebungkus RM1.50 kerana memang niat saya berniaga sambil bersedekah tetapi walaupun murah kualiti tetapi diutamakan.
“Itu juga pesanan mak saya, supaya rezeki bertambah berkat dan luas,” katanya gerainya dibuka bermula 7 hingga 10 pagi.
Jika ada rezeki lebih, katanya, dia berhasrat membuka kedai makan untuk memperluaskan perniagaan keluarga mereka.
“Selain jual tepi jalan, saya juga menguruskan infak untuk mereka yang ingin berkongsi rezeki dengan gelandangan, pusat tahfiz, masjid, surau atau rumah anak yatim,” katanya.
Dalam pada itu Sharifah Nurul Hamirah mengakui, dia sering menjadi tumpuan kerana penampilan sopan serta keramahannya melayan pelanggan yang singgah ke gerainya.
“Setiap hari saya akan menggayakan pakaian tradisional supaya sedap mata orang memandang.
“Saya tak nafikan ada soalan nakal atau pelawaan berkahwin kerana ramai mengetahui status ibu tunggal saya, namun saya tetap menjaga batas dan menetapkan niat hanya untuk mencari rezeki.
“Kalau ada pelanggan lelaki minta bergambar sama, saya layankan saja dengan syarat menjaga batas tetapi biasanya jika sudah beristeri saya akan menolak dengan baik kerana tidak mahu dipandang serong dan mendapat masalah di kemudian hari,” katanya.
METRO