Henderson wira Forest
Nottingham, England: Nottingham Forest menewaskan Wolverhampton Wanderers 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi Piala Liga untuk mara ke separuh akhir saingan piala domestik kali pertama dalam tempoh dua dekad.
Penjaga gol Forest Dean Henderson menyelamatkan sepakan penalti penting Joe Hodge selepas perlawanan berakhir 1-1 dalam tempoh 90 minit untuk membawa pasukannya mara ke separuh akhir pertama sejak mereka mara ke final Piala Liga 1992.
Willy Boly meletakkan Forest di depan selepas 18 minit permainan menerusi tolakan jarak dekat susulan percubaan Serge Aurier terkena tiang terlebih dahulu.
Henderson tangkas menyelamatkan gawang terutamanya daripada rembatan jarak dekat Raul Jimenez dan Hwang Hee-chan sebelum rehat.
Wolves akhirnya mendapatkan gol penyamaan pada babak kedua apabila Jimenez mudah menolak bola masuk hantaran pemain gantian Matheus Cunha.
Walaupun menguasai 66% perlawanan, skuad Julen Lopetegui gagal mendapatkan gol kemenangan dalam tempoh 90 minit.
Forest akan menentang Manchester United pada separuh akhir manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Southampton menentang Newcastle United pada 24 Januari.
METRO