Messi tetap berbisa
Paris: Lionel Messi menjaringkan gol ketika Paris Saint-Germain menang 2-0 ke atas Angers dalam penampilan pertamanya di Ligue 1 sejak mengetuai kejayaan Argentina pada Piala Dunia di Qatar.
PSG merehatkan Messi dalam tiga perlawanan pertama selepas liga kembali bersambung tetapi menjalani latihan di Paris minggu lalu dan beraksi dalam kesebelasan ketika menentang kelab bawahan Ligue 1 itu awal pagi tadi.
Kemenangan itu yang diraih selepas hampir empat minggu dia membawa Argentina menjuarai Piala Dunia membolehkan PSG melonjak enam mata di puncak carta Ligue 1.
Neymar turut tersenarai selepas tidak bermain dua perlawanan terakhir akibat penggantungan dan kecederaan dialami ketika beraksi bersama Brazil di Doha.
Kylian Mbappe pula direhatkan untuk aksi kedua berturut-turut selepas baru pulang bercuti dari New York dan dia dijangka kembali bergandingan dengan Messi di Rennes hujung minggu ini.
Ketiadaan Mbappe memberi peluang kepada penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike membuka tirai jaringan di Parc des Princes pada minit kelima selepas mendapat hantaran cantik Nordi Mukiele.
PSG tidak berada pada tahap terbaik tetapi Messi masih mampu meledak gol ke-13nya musim ini untuk menjadikan kedudukan 2-0 ketika permainan berbaki 17 minit.
Ekitike dan Mukiele sekali lagi bergandingan mencipta bantuan jaringan sebelum disudahkan Messi.
AFP