60% penduduk dewasa Sabah lengkap vaksin

 

Sabah mencapai sasaran 60 peratus daripada penduduk dewasa di negeri ini lengkap vaksin COVID-19, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata pencapaian itu menunjukkan Sabah berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada akhir bulan depan.

“Peratusan populasi dewasa Sabah yang sudah lengkap divaksinkan semalam (kelmarin) mencapai 59.4 peratus. Jadi, bolehlah diandaikan bahawa peratusan vaksinasi populasi dewasa Sabah sudah mencapai 60 peratus pada hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya, bagi pemberian vaksin harian kelmarin, seramai 49,717 orang menerima vaksin di Sabah, merangkumi seramai 29,809 orang penduduk dewasa dan 19,908 orang remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun.

Beliau berkata, penerima dos pertama vaksin pula mencapai 72.1 peratus setakat kelmarin atau bersamaan 1,959,277 orang daripada keseluruhan penduduk dewasa di Sabah.

 



“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima vaksin dos pertama atau Cansino setakat 21 September 2021 adalah seramai 2,103,525 orang.

“Ini meliputi 1,959,277 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 72.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dewasa di Sabah, manakala bagi penerima dos lengkap seramai 1,614,771 atau 59.4 peratus.

“Setakat semalam (kelmarin) juga seramai 144,248 remaja sudah menerima vaksin atau bersamaan 33.8 peratus daripada jumlah penduduk remaja di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata jumlah sebenar rakyat Sabah yang sudah lengkap vaksin adalah lebih tinggi jika mengambil kira penduduk dewasa yang berada di Semenanjung.

“Ramai rakyat Sabah berada di Semenanjung pada masa ini yang menjadi sebahagian daripada statistik penduduk Sabah. Ia boleh dilihat berdasarkan 171,963 bakul makanan yang diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) rakyat Sabah yang berada di Semenanjung.

“Ramai daripada rakyat Sabah ini sudah divaksin di Semenanjung. Oleh yang demikian, peratusan rakyat Sabah yang sudah divaksin sebenarnya lebih tinggi daripada yang ditunjukkan oleh data semasa kita,” katanya.

Masidi berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, populasi dewasa Sabah adalah seramai 2,758,400, dengan 59.4 peratus daripadanya sudah lengkap vaksin setakat kelmarin.

Katanya, rakyat Sabah yang dianggarkan sudah mendapat vaksin lengkap di Semenanjung ialah kira-kira 200,000 orang.

Semalam, Sabah mencatat 1,199 kes baharu COVID-19, menurun 92 kes berbanding 1,291 kes, kelmarin, manakala sebanyak 87 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker