Southampton singkir City

Southampton, England: Manchester City tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas tewas mengejut 0-2 kepada kelab bergelut Southampton dalam aksi suku akhir awal pagi tadi.

Southampton yang tercorot dalam carta Liga Perdana (EPL) meledak dua gol pada babak pertama menerusi Sekou Mara dan Moussa Djenepo.

Mara menjaringkan gol pertama minit ke-23 selepas menolak bola masuk hasil hantaran Lyanco dan tuan rumah menggandakan jaringan apabila lambungan cantik Djenepo menewaskan penjaga gol City, Stefan Ortega



City yang menjuarai Piala Liga enam kali sejak 2014 gagal mencipta percubaan tepat malah kemasukan Kevin de Bruyne dan Erling Haaland gagal menyelamatkan skuad Pep Guardiola.

Buat kali pertama dalam 16 aksi suku akhir saingan peringkat piala domestik, Guardiola mengalami kekalahan dan dia akur dengan keputusan itu.

“Pasukan yang lebih baik menang. Kami gagal beraksi dengan bagus. Banyak perlawanan yang anda bermula dengan buruk tetapi mengatasinya. Namun kali ini kami gagal melakukanya,” kata Guardiola.



“Apabila anda tidak bersedia, anda tiba lewat seinci lewat dan gagal jaring gol. Apabila anda bersedia anda dapat gol.

“Hari ini malam yang teruk. Pihak lawan lebih baik, jadi kami ucapkan tahniah dan kami pula tidak layak menang.”

Sementara itu, kapten Southampton, James Ward-Prowse memberitahu Sky Sports pasukannya beraksi tanpa takut dan memuji pengurus baharu, Nathan Jones.

“Malam yang istimewa terutamanya apabila anda bermasalah di liga tetapi kami tidak gentar. Selalunya sukar apabila anda berada di kedudukan itu.



“Pengurus kami cemerlang dan memberi kami idea segar dan tenaga baharu. Dia mahu kami lebih agresif dan yakin dengan kemampuan sendiri.”

Jones gagal mengubah nasib Southampton dalam aksi EPL sejak mengendalikan kelab itu pada November lalu tetapi memenangi kesemua tiga perlawanan saingan piala – menentang Lincoln City, Crystal Palace dan kini City.

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button