Al Hilal tawar Messi RM1.29 bilion setahun

London: Lionel Messi kini menjadi sasaran kelab Arab Saudi, Al Hilal yang sedia menawarkan kontrak mega £245 juta (RM1.29 bilion) setahun, menurut laporan semalam.

Cristiano Ronaldo pula tiba di negara Timur Tengah itu awal bulan ini selepas bersetuju menerima £173 juta (RM915 juta) setahun untuk menyertai Al Nassr sekali gus bintang sukan yang menerima bayaran paling tinggi di dunia.

Namun menurut Mundo Deportivo, Messi berpeluang memintas gaji Ronaldo dalam tempoh beberapa bulan lagi.



Bintang Argentina berusia 35 tahun tamat kontrak di Paris Saint-Germain pada musim panas tetapi laporan mendakwa dia mencapai persetujuan lisan dengan juara Ligue 1 itu untuk kekal di ibu kota Perancis.

Kini dia dikaitkan dengan perpindahan mega ke Al Hilal.

Kelab Arab Saudi itu adalah musuh ketat kelab Ronaldo, Al Nassr dengan kedua-duanya terbabit dengan ‘derby’ Riyadh setiap tahun.



Jika menjadi kenyataan, Messi bakal mendapat £70 juta (RM370 juta) lebih daripada diraih Ronaldo setiap tahun.

Al Hilal kini menduduki tangga ketiga Liga Pro Arab Saudi, tiga mata di belakang pendahulu Al Nassr.

Bagaimanapun, di sebalik tawaran luar biasa daripada negara Arab, PSG dijangka terus menjadi pilihan pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button