Ter Stegen wira Barcelona

Riyadh: Marc-Andre ter Stegen muncul wira Barcelona ketika menewaskan Real Betis 4-2 menerusi penentuan penalti untuk mara ke final Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi.

Barca akan menentang musuh ketat Real Madrid Ahad ini selepas skuad Carlo Ancelotti itu mengatasi Valencia juga menerusi penalti semalam.

Barcelona memerlukan penalti untuk menyingkirkan Betis selepas perlawanan berakhir 2-2 dalam tempoh 120 minit di Stadium King Fahd.



Robert Lewandowski meletakkan Barcelona di depan selepas 40 minit tetapi Nabil Fekir menyamakan kedudukan buat Betis ketika aksi berbaki 13 minit.

Ansu Fati meledak voli untuk Barca pada masa tambahan tetapi Loren Moron kembali mengikat keputusan hasil kuisan ke belakang.

Ter Stegen menyelamatkan sepakan Juanmi dan William Carvalho manakala Pedri menyempurnakan penalti penting.



“Final pastinya lebih menarik, semua orang mahu melihat perlawanan ini dan kami gembira layak dan mahu menjuarainya,” kata Ter Stegen kepada Movistar.

Penjaga gol Jerman itu beberapa kali menyelamatkan percubaan bahaya Betis sebelum penentuan penalti yang menyaksikan dia muncul wira pasukannya.

Barcelona belum menjuarai Piala Super Sepanyol sejak ditukar kepada format empat pasukan dengan edisi pertama di Arab Saudi berlangsung pada 2020.

Selepas menamatkan musim lalu dengan tangan kosong dan membuat pelaburan besar pada musim panas, Xavi dan pasukannya kini terdesak untuk menjulang piala pertama mereka.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button