`Perang’ besar di Manchester malam ini

Aksi ke-18 minggu ini, bakal menyaksikan dua perlawanan tetangga atau derby dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Satu membabitkan aksi `Manchester derby’ manakala satu lagi `North London derby’.

Aksi tetangga Manchester antara dua seteru ketat, Manchester United dan Manchester City manakala perlawanan tetangga utara London, membabitkan pendahulu liga, Arsenal dan pencabar kejuaraan, Tottenham Hotspur.

Pertembungan Manchester akan berlangsung di Old Trafford, jam 8.30 malam ini. Ia tentunya adalah antara perlawanan sangat dinantikan kedua-dua pasukan terutama penyokong tegar mereka.



Mengikut rekod, pertembungan malam ini adalah ke-188 dan sudah pasti kedua-duanya mahu mencatat kemenangan. United mahu tiga mata untuk merapatkan kedudukan dengan City yang meninggalkan mereka dengan empat mata selain memintas penghuni tangga ketiga, Newcastle selepas kedua-duanya kini terikat 35 mata, namun Red Devils berkelebihan satu aksi.

City pula dengan misi untuk merapatkan jurang kepada dua mata dengan pendahulu Arsenal yang hanya akan turun esok untuk bertemu Tottenham. Jika melihat rekod lalu, kelebihan tampak memihak City apabila tiada kelab paling banyak menewaskan United dalam aksi liga di Old Trafford berbanding mereka iaitu sebanyak lapan kali.

Sudah pasti kemenangan malam ini juga bakal menyaksikan skuad Pep Guardiola menang dengan rekod 19 kali ke atas United sejak 1992, memintas Chelsea dan Liverpool yang masing-masing menang 18 perlawanan menewaskan Red Devils.



Rekod pertemuan United menentang City sejak akhir-akhir ini juga buruk apabila tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi EPL, selain melepaskan 12 gol. Jika tewas sekali lagi, ia kali pertama sejak November 2014, mereka tewas empat kali berturut-turut aksi tetangga Manchester.

Pengendali United, Erik ten Hag pastinya mahu mengelak menjadi pengurus United pertama tewas dua aksi pertama kepada City sejak David Moyes pada 2013-14.

Pun begitu, Guardiola pula tidak boleh terlalu yakin dengan rekod dimiliki selepas apa yang menimpa mereka di Stadium St Mary pada pertengahan minggu yang menyaksikan City tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas dimalukan Southampton 2-0.

Dalam pada itu, Arsenal seharusnya tiada masalah besar untuk mengutip mata penuh jika bersandarkan prestasi semasa mereka selain mengambil kira kedudukan lawannya itu yang agak terumbang-ambing kebelakangan ini.



Namun jika melihat rekod lalu, Tottenham tidak pernah tewas di laman sendiri dalam lapan aksi EPL menentang The Gunners iaitu termasuk enam kali menang. Pun begitu, skuad Antonio Conte tewas 1-3 di Stadium Emirates Oktober lalu, sekali gus Mikel Arteta memburu kemenangan berganda.

Sementara itu, Liverpool dijangka berdepan satu lagi ujian apabila menyambut kunjungan Brighton lewat malam ini ini, manakala Chelsea yang dikejutkan Fulham kelmarin, harus segera bangkit menundukkan Crystal Palace malam esok jika tidak mahu terkeluar dari empat kelompok terbaik di penghujung saingan EPL musim ini. Selamat menonton.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button