Potongan harga sebagai ‘pecutan’ terakhir di PAU 2022

Kuala Lumpur: Orang ramai mengambil peluang memeriahkan dan membeli belah di gerai jualan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Tinjaun mendapati kunjungan orang ramai lebih meriah, hari ini bermula 10 pagi tadi yang tidak melepaskan peluang ‘cuci’ mata di gerai pakaian, makanan, kasut, hiasan, dan aneka biskut raya.

Malah, hampir semua peniaga memberikan potongan harga sebagai ‘pecutan’ terakhir.



Pengunjung, Aida Husin, 56, berkata, dia mengambil peluang berkunjung ke perhimpunan itu untuk membeli belah dan meninjau persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Menurutnya, biarpun tidak hadir sebagai pewakilan atau ahli parti itu tetapi dia tidak melepaskan peluang datang ke perhimpunan itu untuk membeli belah hampir setiap tahun.

“Kebetulan hari ini hari terakhir dan banyak pula potongan harga yang diberikan peniaga, jadi saya tak melepaskan peluang mencari beberapa keperluan seperti baju raya.



“Memang meriah dan ramai orang yang datang ke sini dengan banyak pilihan barangan yang ada sekali gus memudahkan saya meninjau keperluan untuk hari raya nanti seperti baju dan biskut,” katanya yang datang dari Rawang.

Sementara itu, suri rumah, Ernie Karim, 37, berkata, dia yang mengikut suami yang juga pewakilan Umno Melaka turut mengambil kesempatan pada hari terakhir PAU 2022 untuk meninjau persiapan biskut raya.

“Sambil menunggu suami saya dan beberapa ahli keluarga ambil kesempatan mencuci mata melihat pelbagai barangan di gerai jualan sekali gus membantu ekonomi peniaga tempatan.



“Persiapan Aidilfitri memang masih awal lagi untuk dibuat tetapi saya ambil kesempatan juga beli beberapa jenis biskut untuk rasa dahulu sebelum menempah untuk raya nanti,” katanya.

PAU 2022 melabuhkan tirainya, hari ini.

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button