Penyakit jantung – Orang muda ‘tak kebal’ lagi

Penyakit jantung – Orang muda ‘tak kebal’ lagi

Penyakit jantung - Orang muda 'tak kebal' lagi

Penyakit jantung atau serangan jantung sering dikaitkan sebagai ‘penyakit orang tua’ khususnya dalam kalangan individu berusia 50-an ke atas.

Realitinya, golongan muda turut berisiko dan tahun demi tahun, semakin banyak kes jantung dilaporkan termasuk dalam kalangan remaja.



Ia sekali gus menepis tanggapan segelintir masyarakat, kononnya mustahil bagi golongan muda menghidap penyakit jantung.

Pakar jantung di Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Onn Akbar Ali, berkata trend penyakit jantung di Malaysia agak berbeza dengan negara Barat.

“Jika mengikut definisi negara Barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat serangan jantung dalam kalangan orang muda ditakrifkan dalam kalangan individu berumur bawah 55 tahun, paling muda sekitar 40 hingga 45 tahun.

“Bagaimanapun, definisi itu tidak relevan untuk negara kita memandangkan terlalu ramai yang kena serangan jantung dalam usia muda.

“Kerana itu saya tekankan, secara amnya penyakit jantung dan serangan jantung khususnya dalam kalangan orang muda terutama mereka di bawah usia 35 tahun bukanlah satu perkara baru,” katanya ketika diwawancara BH.



18 tahun pesakit jantung termuda dirawat

Dr Onn Akbar berkata, pesakit jantung termuda yang pernah dirawat berusia 18 tahun ketika bertugas di Australia pada 2004.

Menceritakan semula detik cemas itu, kongsinya remaja lelaki itu mengalami serangan jantung ketika bermain bola sepak dengan jantungnya berhenti ketika sedang beraksi di pandang, namun berjaya diselamatkan.

Penyakit jantung - Orang muda 'tak kebal' lagi
Dr Onn Akbar Ali

“Baru-baru ini, saya turut menerima seorang pesakit wanita berusia 22 tahun. Dia tidak merokok, ambil dadah atau terkena jangkitan kuman, tetapi ada penyakit kencing manis, malah bacaan kadar gulanya terlalu tinggi, mencecah 24 ketika hadir ke hospital.

“Ibu bapanya ada penyakit kencing manis, jadi secara automatik, risiko untuk dia turut menghidap kencing manis lebih tinggi,” katanya faktor genetik turut mempengaruhi risiko penyakit jantung dengan ada pesakit yang langsung tidak berdepan simptom awal seperti sakit dada dan seumpamanya.



Jelasnya, golongan muda perlu berwaspada kerana masalah jantung menyumbang sebanyak 70 hingga 80 peratus kematian mengejut di Malaysia, bagi semua kelompok umur.

“Ada dua punca utama kematian mengejut dalam kalangan orang muda, pertama disebabkan sakit jantung dan ia terbahagi kepada dua kategori.

“Pertama, kematian disebabkan serangan jantung apabila saluran darah di dalam jantung tersumbat; kedua kematian disebabkan oleh masalah sistem pendawaian di dalam jantung. Contohnya penyakit jantung keturunan yang boleh menyebabkan jantung tiba-tiba berhenti atau irama yang tidak normal sehingga menyebabkan berhenti fungsi jantung secara tiba-tiba,” katanya.

Kematian mengejut akibat masalah jantung

Kematian mengejut berpunca daripada masalah lain dan tidak berkaitan jantung hanya membabitkan peratusan kecil, misalnya disebabkan strok, penyakit sawan atau penyakit otak yang lain.



Dr Onn Akbar turut memperbetulkan tanggapan bahawa banyak kes kematian mengejut dalam kalangan orang muda termasuk akibat masalah jantung yang dikaitkan dengan wabak COVID-19.

“Ramai yang buat andaian kematian mengejut orang muda ketika ini disebabkan COVID-19. Padahal ia tak betul, kematian mengejut ini sudah lama berlaku, bertahun-tahun…malah sebelum pandemik lagi.

“Kadar kematian mengejut dalam kalangan orang muda dan dewasa di Malaysia sebenarnya tak banyak berbeza jumlahnya berbanding kadar sebelum ini (sebelum pandemik),” katanya.

Menyentuh punca utama orang muda ‘tidak lagi kebal’ terhadap penyakit jantung, Dr Onn Akbar berkata, lebih ramai yang dikesan mempunyai salah satu atau pakej ’empat penyakit serangkai’.



“Kebiasaannya penyakit jantung dikaitkan individu berumur lebih daripada 45 atau 50 tahun adalah berkaitan penyakit empat serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis, tabiat merokok dan kolesterol.

“Daripada empat serangkai ini, paling kerap menyebabkan serangan jantung membabitkan orang muda adalah tabiat merokok dan kadar kolestrol yang tinggi, ia turut boleh menyebabkan salur darah tersumbat.

“Ada juga orang muda sakit jantung disebabkan tekanan darah tidak terkawal. Contohnya, ramai ada penyakit darah tinggi tetapi tidak makan ubat,” katanya.

Buat pemeriksaan awal

Menyentuh salah satu faktor penyebab masalah jantung, iaitu kadar kolesterol yang tinggi dalam badan, beliau tidak nafikan ada antaranya berkaitan genetik.



“Kalau total kolesterol seseorang itu lebih daripada 7 kebarangkalian, dia terdedah kepada faktor genetik sama ada daripada ibu atau bapanya sangat tinggi. Jadi, seumur hidup akan ada masalah kolesterol.

“Risiko kena serangan jantung akan lebih tinggi daripada orang lain.

“Bagaimanapun, ada banyak pertimbangan yang doktor akan ambil untuk menilai risiko bagi setiap orang, contohnya bagi lelaki berumur 45 tahun, merokok dan kadar kolesterol menunjukkan bacaan 7, pastinya disarankan makan ubat kerana berisiko tinggi kena serangan jantung.

“Ada banyak cara doktor menilai risiko pesakit, iaitu melihat data kesihatan, gender dan sebagainya. Misalnya jika individu didapati berisiko tinggi, doktor akan beri ubat kolesterol untuk mengurangkan risiko hidap atau berdepan serangan jantung,” katanya.

Pemeriksaan kesihatan digalakkan sebagai pencegahan awal. Ia sebenarnya terpulang kepada individu. Misalnya, kalau umur baru cecah 30 tahun, cukup dengan memeriksa tekanan darah, kadar gula dan tahap kolesterol semasa. Tidak perlu pun jumpa doktor pakar sebenarnya.

“Bagi individu yang emak atau ayah ada masalah kolesterol atau kencing manis wajar lakukan pemeriksaan kesihatan. Dinasihatkan buat pemeriksaan seawal usia 25 hingga 30 tahun termasuk yang mengalami masalah obesiti,” katanya.

Presiden PPRS dalang sindiket ‘kad kebal’

Penyakit jantung – Penyakit jantung -Orang muda ‘tak kebal’ lagi


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


“SPRM wajar siasat kewangan PAS semasa PRU” – Ahmad Said

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button