3 peguam Siti Bainun tarik diri

KUALA LUMPUR: Prosiding bela diri Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini ditangguhkan ke esok berikutan tiga peguam mewakili pengasas Rumah Bonda itu menarik diri.

Peguam terbabit, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis kepada Mahkamah Sesyen, di sini, Jumaat lalu, manakala Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor pula membuat permohonan secara terbuka di mahkamah, hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi berkata, pihaknya akur dengan permohonan terbabit walaupun isu itu menjejaskan kelancaran perbicaraan kes berkenaan yang sudah tertangguh beberapa kali.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak wajar berlaku kerana tarikh perbicaraan sudah ditetapkan dan dipersetujui semua pihak lebih awal, dan mereka ada masa mencukupi untuk membuat permohonan sekiranya mempunyai sebarang masalah.

“Bagi Nur’Aminahtul, menjadi tugas mahkamah untuk meneliti permohonan berkenaan (menarik diri) tetapi pada akhirnya, ia adalah hak peguam itu sendiri.

“Dalam rekod mahkamah, masih ada baki peguam mewakili kamu (Siti Bainun) yang belum membuat permohonan, iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil. Jadi, saya perlu meminta mereka menyatakan pendirian dan saya hendak penjelasan mereka.

“Saya menangguhkan (perbicaraan) ke esok untuk mengetahui status peguam, sama ada kamu mencari peguam baharu menggantikan Nur’Aminahtul atau mengekalkan Nurul Hafidzah serta Asiah,” katanya, hari ini.

Terdahulu ketika Izralizam meminta penjelasan berhubung sebab permohonan menarik diri terbabit dikemukakan pada saat akhir, pagi tadi, Nur’Aminahtul berkata, pihaknya berpendirian tidak akan mewakili Siti Bainun disebabkan kekangan masa dan masalah berikutan peguam menarik diri, kerana pembahagian tugasan sudah dibuat.

“Pendirian kami, tidak akan meneruskan pembelaan Siti Bainun kerana saya tidak boleh bertindak sendirian tanpa pasukan, selepas dimaklumkan Mohammad Farhan dan Nur Ellena menarik diri, tengah malam tadi.

“Saya perlu menjelaskan situasi ini kerana pasukan saya membabitkan lima firma yang mana pembahagian tugas sudah diberikan. Jadi apabila isu ini timbul, ia menjejaskan jadual kerja kami.

“Saya dan Siti Bainun berbincang (ketika prosiding pagi tadi ditangguhkan) mengenai isu ini. Saya akan membantu Siti Bainun mencari peguam untuk mewakilinya,” katanya.

Sementara itu, Siti Bainun berkata, pihaknya hanya mengetahui peguam belanya menarik diri, pagi tadi.

“Saya faham Nur’Aminahtul ada memberitahu saya mengenai kekangan masa dan jadual peguam lain (bertindih), namun kita tidak dimaklumkan mengenai isu peguam menarik diri, hari ini.

“Saya akan cuba mendapatkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau meminta bantuan Nur’Aminahtul untuk mencari peguam lain,” katanya.

Terdahulu, prosiding itu tergendala kira-kira dua jam apabila pihak peguam mewakili Siti Bainun mengemukakan permohonan menarik diri berikutan tidak mempunyai kelapangan pada tarikh ditetapkan sebelum ini sehingga Izralizam mengarahkan mereka berbincang.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker