MITI sasar pertumbuhan pelaburan sekurang-kurangnya 8-10%

Oleh – Syeikh Baran


MITI sasar pertumbuhan pelaburan sekurang-kurangnya 8-10%
Tengku Zafrul ketika membentangkan prestasi pelaburan Malaysia tahun lalu di ibu pejabat MIDA, hari ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan pertumbuhan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 peratus dalam jumlah pelaburan diluluskan bagi tahun 2024, daripada RM329.5 bilion yang dicapai tahun lalu.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka sasaran itu adalah bersandarkan kepada sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan kerajaan tahun ini, iaitu pada empat hingga lima peratus.

Jelasnya, beliau masih berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan berhubung angka sasaran yang wajar, namun ia perlu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, dan memiliki perkaitan dengan sasaran KDNK negara.

“Bagi saya, ia perlu minimum dua kali ganda daripada sasaran pertumbuhan KDNK, jadi sekurang-kurangnya lapan hingga 10 peratus.

“Kemudian kita perlu melihat kepada kitaran industri. Bagi elektrik dan elektronik, ia dalam kitaran menaik namun terdapat lebihan bekalan pada industri-industri lain,” katanya pada sidang media tahunan bagi membentangkan prestasi pelaburan Malaysia bagi tahun 2023 di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Bagi 2023, Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi yang pernah dicapai pada RM329.5 bilion, iaitu pertumbuhan sebanyak 23 peratus berbanding 2022.

Prestasi cemerlang itu disokong peningkatan 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan 15.3 peratus untuk pelaburan asing.

Tengku Zafrul menambah, untuk tahun ini, pihaknya telah menerima minat daripada bakal pelabur membabitkan nilai projek berjumlah RM88.82 bilion dan selain itu, terdapat 1,710 projek sedang dalam perancangan, dengan cadangan pelaburan berjumlah RM87.8 bilion.

“MITI dan MIDA juga sedang berbincang dengan sebuah institusi penting di China untuk mengukuhkan pelaburan asing dua hala.

“Kami kini pada peringkat rundingan lanjutan untuk memuktamadkan perjanjian yang memfokuskan kepada promosi pelaburan asing untuk menggalakkan aliran pelaburan, dengan menggalakkan firma China untuk meneroka peluang di Malaysia di samping memudahkan perusahaan Malaysia untuk berkembang ke China,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker