Arteta puji keberanian Arsenal benam Spurs

 

LONDON: Mikel Arteta memuji ‘keberanian’ Arsenal ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menang 2-0 mengatasi Tottenham sebelum terus tenang apabila penjaga gol, Aaron Ramsdale diserang oleh penyokong selepas wisel penamat awal pagi tadi.

Skuad kendalian Arteta diberikan gol awal oleh penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris yang menolak hantaran lintang Bukayo Saka ke gawang sendiri pada awal babak pertama.

Martin Odegaard menambah gol kedua Arsenal menerusi sepakan jarak jauh yang menakjubkan sebelum rehat.

Kemenangan liga pertama Arsenal mengatasi Tottenham sejak 2013-14 memberikan mereka kelebihan lapan mata di depan pasukan tangga kedua, Manchester City.

Namun sambutan mereka tergendala apabila penyokong Spurs masuk ke padang dan cuba menyepak Ramsdale selepas penjaga gol Arsenal itu bertelagah dengan pemain Tottenham, Richarlison.

“Penyokong Spurs memberikan saya sedikit tekanan sepanjang babak kedua, saya membalasnya, kemudian mereka melompat masuk ke padang,” kata Ramsdale.

“Ia agak pahit tapi syukur tiada apa yang terlalu drastik terjadi.”

Ditanya mengenai insiden berkenaan, Arteta menambah: “Saya hanya mahu bercakap mengenai bola sepak dan permainan cantik yang kami mainkan.

“Saya suka cara kami bermain dan keberanian yang kami tunjukkan. Semua yang kami mahu, mereka cuba memberikannya. Mereka adalah kumpulan pemain yang menakjubkan.

“Saya rasa hari ini kami melangkah setapak lagi. Kami menang musim lalu di stadium besar, tetapi cara kami menang hari ini jelas menggembirakan.”

Pengurus Tottenham, Antonio Conte mengutuk serangan penyokong dengan berkata: “Jika ia berlaku, ia tidak bagus. Kita mesti sentiasa menunjukkan rasa hormat terhadap lawan dan pemain. Saya tidak menyukainya.”

Ketika usaha Arsenal mengejar kejuaraan semakin menampakkan hasil, kunjungan mereka ke pasukan tangga kelima, Tottenham adalah ujian besar terhadap kemampuan mereka.

Mereka melakukannya dengan baik di gelanggang yang sentiasa memberikan kesukaran buat Gunners yang tewas semua tiga aksi di stadium baharu Tottenham sejak ia dibuka pada 2019.

“Ia menunjukkan bukan hanya keazaman tinggi dan keberanian tetapi anda perlu ada rasa yakin dan kualiti untuk melakukannya berdepan pasukan ini. Ia jelas bergantung kepada pemain,” kata Arteta.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker