Barca juara Piala Super Sepanyol

RIYADH: Barcelona selesa menewaskan Real Madrid 3-1 di Arab Saudi hari ini bagi menjuarai Piala Super Sepanyol, trofi pertama sejak jurulatih, Xavi Hernandez mengambil alih pasukan.

Mendapat inspirasi pemain remaja, Gavi yang meledak jaringan serta membantu untuk gol Robert Lewandowski dan Pedri Gonzalez, skuad dari Catalan itu menampilkan satu daripada persembahan terhebat mereka berdepan pencabar Clasico itu.

Selepas melalui musim yang hebat sebagai pemain di Barca, Xavi kembali pada November 2021 dan selepas berbelanja besar pada musim panas, kejayaan berkenaan membawa pasukan itu di landasan sebenar.

Karim Benzema meledak gol sagu hati buat Madrid, yang jauh daripada prestasi terbaik mereka sejak rehat Piala Dunia dan kini ketinggalan tiga mata di belakang Barcelona pada aksi La Liga.

Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti mengalami kekalahan pertama di final sejak 2014, dengan Los Blancos menyerahkan trofi dimenangi mereka kepada Barcelona yang menang Piala Super dengan rekod 14 kali.

“Kami tahu ia adalah peluang yang kami perlu ambil, kami hidup dalam era perubahan di kelab dan di bilik persalinan dan ini menguatkan lagi kami untuk bertarung merebut gelaran,” kata kapten Barca, Sergio Busquets kepada Movistar.

Xavi menurunkan empat pemain tengah dengan Gavi beraksi di kiri dan sentiasa menyukarkan pertahanan kanan Madrid, Dani Carvajal.

“(Gavi) ialah pemain yang sentiasa menggembirakan kita semua, apabila anda melihatnya bersaing seperti itu, memberikan jiwa raga di sana, dia adalah karektor berpengaruh buat pasukan, dia ada kualiti kepimpinan,” kata Xavi dalam sidang akhbar.

“Ia datang dalam dirinya, ia menakjubkan. Pada usia 18 tahun, saya sudah katakan banyak kali, tiada batasan terhadap kemampuan budak ini.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker