Mbappe gagal bantu PSG lakar kemenangan

Paris: Kylian Mbappe kembali dari rehat Piala Dunia namun dia gagal membantu Paris Saint-Germain melakar kemenangan apabila pasukan itu tewas 0-1 kepada Rennes dalam aksi Ligue 1 dan keputusan itu menyaksikan mereka kini hanya mempunyai kelebihan tiga mata di puncak liga.

Kapten Rennes, Hamari Traore menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-65 pada perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan dengan PSG terpaksa akur kepada kekalahan liga kedua berturut-turut di tempat lawan selepas tumbang 1-3 di Lens pada tahun baru.

Mereka sebelum ini tidak pernah tewas dalam 23 perlawanan pertama musim ini dalam semua pertandingan dan kekalahan itu memberi harapan kepada pesaing mereka untuk perebutan kejuaraan.

“Saya kecewa dengan persembahan kami kerana kami melepaskan terlalu banyak peluang dan tidak mencipta apa-apa,” kata jurulatih PSG Christophe Galtier yang tidak berpuas hati tentang “ketiadaan pemain dalam kotak penalti” selepas memilih untuk merehatkan Mbappe di bangku simpanan ketika sepak mula.

Ini adalah kali pertama Mbappe, Lionel Messi dan Neymar muncul di padang bersama-sama sejak trio penyerang superstar PSG kembali dari Piala Dunia.

Messi diberi cuti panjang selepas mengetuai Argentina menjulang kejayaan di Doha dan menjaringkan gol sekembalinya dalam perlawanan ketika menang 2-0 menentang Angers pada pertengahan minggu lalu.

Mbappe, penjaring hatrik untuk Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia ketika mereka tewas menerusi sepakan penalti kepada Argentina, telah bermain dalam dua perlawanan pertama kelabnya selepas kejohanan itu sebelum terlepas dua perlawanan terakhir ketika dia bercuti di New York bersama rakan sepasukan Achraf Hakimi.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker