Ahli perniagaan jual nama ketua polis Johor, cuba rasuah polis ditahan


Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

03/12/2020 04:20 PM

JOHOR BAHRU, 3 Dis — Polis menahan seorang ahli perniagaan kerana cuba menyogok sejumlah wang kepada polis yang menyerbu sebuah pusat hiburan miliknya di Ulu Tiram di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam serbuan pada 11.35 malam itu, lelaki berkenaan menawarkan RM45,000 kepada pegawai yang mengetuai operasi bagi mengelakkan dirinya dan 66 individu lain di dalam premis tersebut diambil tindakan undang-undang.

Menurut beliau, operasi itu merupakan serbuan kedua yang dijalankan oleh polis ke atas premis tersebut selepas yang pertama pada 1 Nov lalu.

“Ahli perniagaan ini disyaki pernah menjadi perantara kepada pemilik-pemilik premis di sekitar Johor dengan menggunakan nama Ketua Polis Johor untuk mendapatkan imbuhan kewangan,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 47 tahun itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Mengenai tindakan terhadap 66 individu di premis berkenaan, Ayob Khan berkata 46 lelaki dan 20 wanita berusia antara 21 dan 60 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di pusat hiburan terbabit.

Hasil saringan awal air kencing pula mendapati seramai 12 lelaki dan tiga wanita positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor (ENJ)1998, Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias mengesahkan ahli perniagaan tersebut telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.

6 wanita asing ditahan tawar khidmat seks

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker