Bursa Malaysia sekali lagi dibuka lemah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penyusutan semalam untuk dibuka rendah hari ini, dipacu aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih meskipun pasaran serantau mencatat momentum positif, kata peniaga.

Pada 9.28 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.87 mata kepada 1,490.69 berbanding 1,493.56 sewaktu ditutup semalam.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 1.03 mata kepada 1,492.53.



Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 233 berbanding 190 manakala 306 kaunter tidak berubah, 1,463 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 504.40 juta unit bernilai RM270.95 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota hari ini berkata, FBM KLCI menyusut pada Isnin sekali gus mengakhiri kenaikan selama tiga sesi berturut-turut berikutan pelabur mencatat keuntungan menjelang cuti Tahun Baharu Cina.

“Pelabur mungkin mengambil pendekatan berhati-hati di tengah-tengah persekitaran kekurangan pemangkin baharu. Namun,sentimen keseluruhan membayangkan bahawa risiko penurunan adalah terhad berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkatkan kadar faedah dengan kadar lebih perlahan pada masa akan datang kerana data Indeks Harga Pengguna AS merosot.



“Dalam pada itu, pasaran menunggu keputusan mengenai kadar faedah oleh Bank of Japan (BOJ) serta kadar inflasi United Kingdom dan zon euro. Dari segi komoditi, harga minyak mentah Brent didagangkan melebihi AS$84 setong manakala harga minyak sawit mentah bergerak melepasi RM3,850 sekilogram,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menokok 2.0 sen kepada RM8.80, Public Bank dan CIMB masing-masing susut 1.0 sen kepada RM4.31 dan 5.75, Petronas Chemicals berkurangan 10 sen kepada RM8.40 manakala Tenaga Nasional menguncup 4.0 sen kepada RM9.41.

Bagi saham aktif, Kumpulan Kitacon meningkat 12.5 sen kepada 80.5 sen, Nationgate naik 7.0 sen kepada RM1.12, Serba Dinamik tidak berubah pada 1.5 sen manakala Revenue Group merosot 7.0 sen kepada 68 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 18.47 mata kepada 10,776.02, Indeks FBMT 100 susut 18.95 mata kepada 10,470.40 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 22.80 mata kepada 10,989.55.



Indeks FBM 70 merosot 18.91 mata kepada 13,444.18 dan Indeks FBM ACE menguncup 26.43 mata kepada 5,473.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 13.61 mata kepada 16,545.71 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.61 mata kepada 186.32.

Indeks Perladangan meningkat 1.94 mata kepada 6,901.27 dan Indeks Tenaga susut 2.59 mata kepada 818.30.

-BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button